Klik LIKE untuk dapatkan kemas kini melalui Facebook anda.

Menyalurkan informasi untuk orang makan gaji dan orang bisnes untuk lebih berjaya dalam kerjaya, kewangan dan bisnes dengan cara patuh syariah.

CARA MENETAPKAN MATLAMAT KEWANGAN.




Seperti yang dijanjikan dalam catatan yang awal, sekarang saya ingin berkongsi cara-cara menetapkan matlamat kewangan yang jelas, yang saya amalkan. Dengan menetapkan matlamat kewangan yang jelas, ia akan membantu kita untuk mencapai matlamat yang kita mahu dengan lebih mudah, dengan izin Allah.

Berikut adalah kriteria yang perlu ada untuk kita menetapkan matlamat kewangan yang jelas.
      
      1. Tempoh Waktu.

Perkara pertama yang perlu kita tetapkan adalah, bila kita mahu mencapai matlamat kewangan kita? Ini persoalan yang mesti dijawab. Adakah 10 tahun daripada sekarang, atau ketika berusia 40 tahun nanti? Dengan menetapkan tarikh akhir matlamat kita, ia akan memberikan kita tekanan positif untuk segera bertindak mencapai apa yang kita inginkan.

      2. Dapat Diukur.

Menetapkan matlamat ingin menjadi kaya, sederhana dan bebas kewangan sahaja tidak cukup. Ia ada matlamat yang masih kabur. Kita perlu nyatakan matlamat kewangan kita secara spesifik. Adakah ia RM 50 ribu atau RM 100 ribu atau mana-mana jumlah yang kita mahukan?

Mungkin juga ia berupa aset, seperti 2 buah rumah appartment, 1 buah rumah kedai, dan 1 ekar tanah. Tetapkan dengan jelas, dan bukan sekadar matlamat yang kabur. Dengan penetapan ini, kita lebih jelas apa sebenarnya yang kita mahu.

      3. Dapat Dicapai.

Pastikan matlamat kewangan kita itu mampu dicapai. Jangan menetapkan suatu matlamat yang mustahil untuk kita capai, kerana ia akan mematahkan semangat kita untuk mencapainya. Jika kita mempunyai matlamat yang besar, saya cadangkan agar matlamat besar itu dipecahkan kepada matlamat-matlamat kecil yang mudah kita capai terlebih dahulu.

Jika kita menetapkan matlamat kewangan RM 100 ribu, kita boleh pecahkan ia kepada matlamat kecil. Contohnya, matlamat pertama mencapai RM 10 ribu, RM 20 ribu, dan seterusnya.

      4. Ditulis.

Sediakan kertas dan tulis matlamat kita. Lihat ia secara berkala atau simpan di tempat yang biasa kita buka. Sekadar menyimpannya di dalam ingatan tidak memadai. Boleh jadi kita terlupa tentangnya nanti.

Tulis matlamat kita dengan perkataan "saya" dan seolah-olah kita telah mencapainya. Contoh ringkas,
"Ketika berusia 40 tahun, pada tahun 2025 saya telah mencapai status bebas kewangan, dengan pendapatan pasif sebanyak RM 5 ribu sebulan, yang dijana daripada 6 pelaburan hartanah."
Lebih baik, saat menulis matlamat kewangan ini ditambah juga dengan senarai 'mengapa' kita mahu mencapainya, apakah perkara mendorong kita mencapainya. Ini penting, kerana ia akan menjadi pembakar semangat kita untuk mencapai matlamat kewangan yang kita tetapkan.

Menurut Brian Tracy, seorang pakar pembangunan diri terkenal, sebuah matlamat yang kabur tidak disebut sebagai matlamat, tetapi ia hanyalah sebuah harapan.

Jika anda yang membaca artikel ini, sudah mempunyai matlamat yang jelas, tahniah saya ucapkan. Jika belum lagi, bertindaklah segera untuk mengubah 'harapan' itu menjadi sebuah matlamat yang bermakna dalam kehidupan. Semoga dengan itu, perjalanan kita mencapai matlamat kewangan yang diimpikan mennjadi lebih mudah.




Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Anda mempunyai pendapat, pandangan dan pengalaman berkenaan topik yang dituliskan di atas? Tuliskan di bawah dan kongsikan bersama kami.