Klik LIKE untuk dapatkan kemas kini melalui Facebook anda.

Menyalurkan informasi untuk orang makan gaji dan orang bisnes untuk lebih berjaya dalam kerjaya, kewangan dan bisnes dengan cara patuh syariah.
Memaparkan catatan dengan label Pengurusan. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Pengurusan. Papar semua catatan

3 TIP URUS MASA USAHAWAN INTERNET.


 
Masa adalah antara aset dan modal terpenting yang kita milik dalam hidup, selain wang ringgit. Masa lebih penting daripada wang. Andai wang hilang, kita boleh mencarinya semula, tetapi masa yang pergi tidak akan kembali.

Sebagai usahawan yang berkecimpung dalam bisnes internet, satu masalah yang biasa dihadapi oleh usahawan-usahawan di internet adalah silap mengurus masa. Ada yang duduk berjam-jam di depan komputer, tetapi hasil yang diperolehi adalah kurang. Tidak sedikit aktiviti melencong daripada aktiviti bisnes.



Pada kali ini, saya ingin berkongsi untuk manfaat bersama adalah beberapa panduan mudah untuk pengurusan masa bagi usahawan internet.
  1. Buat jadual waktu untuk urus bisnes setiap hari. Misalnya masa untuk online bisnes adalah 4 jam setiap hari. 1 jam pagi. 1 jam tengahari. 1 jam petang dan 1 jam malam. Pada waktu tersebut, fokus kepada urusan bisnes sahaja berbanding urusan peribadi.
    .
  2. Setiap kali mahu online tanya diri, “Apa yang saya mahu buat?”. Sediakan senarai tugas yang mahu dilakukan, kemudian susun tugasan tersebut mengikut prioriti atau keutamaan. Dahulu perkara yang lebih penting ke atas perkara penting.
    .
  3. Sediakan jam lonceng atau ‘reminder’ dalam telefon untuk mengingatkan berapa lama kita perlu online. Ini bagi mengelakkan kita daripada terbabas dan terlebih waktu daripada yang sepatutnya. Dengan meletakkah tempoh, ia akan buat kita lebih fokus.
Mudah bukan 3 tip ini? Mudah, tetapi ia memberikan impak yang besar kepada bisnes kita sebagai usahawan internet.

Silakan untuk kongsi artikel ini bersama rakan usahawan internet anda. Terutama yang buat bisnes di laman sosial Facebook.


(Sumber gambar: wallsave) 





MITOS KEPEMIMPINAN.




     # 1 - Mitos Kedudukan, “Saya tidak boleh memimpin, jika saya tidak berada di atas atau tiada kuasa!”

Pengukur sebenar kepimpinan adalah pengaruh, bukannya kedudukan yang anda miliki. Memiliki kedudukan di atas, tidak bermakna kita boleh memimpin dengan baik dan menjadi pemimpin yang disegani. Sekiranya kita memiliki pengaruh yang kuat kepada orang di sekeliling kita, meskipun tidak ada jawatan yang tinggi, kita sebenarnya adalah seorang pemimpin secara tidak langsung.

     # 2 - Mitos Destinasi, “Apabila saya sudah berada di atas, maka saya akan belajar untuk memimpin!”

Kemahiran memimpin bukannya dapat dibentuk dalam masa sehari dua. Ia dipelajari dan dibentuk dalam masa yang lama. Dahului segala perkara dengan ilmu. Usah tunggu dilantik menjadi seorang pemimpin baru mahu belajar jadi pemimpin. Mulakan daripada sekarang, saat masih dalam situasi ‘dipimpin’. Apabila kita sudah mempunyai kemahiran memimpin dan menunjukkan sifat kepimpinan, orang lain sendiri akan menolak kita ke atas untuk menjadi pemimpin.

     # 3 - Mitos Pengaruh, “Apabila saya sudah berada di atas, maka orang akan mengikuti saya!”

Yang tepatnya, tidak semua orang yang berada di atas akan ditaati dan diikuti. Sekiranya kepimpinan orang di atas adalah rendah, maka orang di bawah kemungkinan besar tidak akan taat, malah meninggalkan pemimpin tersebut. Lebih teruk, si pemimpin tadi akan digulingkan oleh orang yang di bawah untuk diganti dengan orang yang mereka lebih percaya dan layak.

     # 4 - Mitos Kebebasan, “Apabila saya berada di atas, saya akan bebas!”

Ada yang menyangka apabila sudah jadi pemimpin, maka mereka akan bebas melakukan apa yang disukai dan tiada orang akan mengawal mereka. Realitinya semakin meningkat kedudukan, maka tanggung jawab semakin bertambah. Berada di atas bukan bermakna goyang kaki sahaja. Ia memerlukan pemikiran yang banyak.

Lihat sahaja jadual para Perdana Menteri di dunia, setiap hari dipenuhi dengan pelbagai aktiviti dan program. Sebarang tindakan mereka diperhatikan. Sekiranya ada kesilapan akan dikritikan ditentang. Sebab itu, ada orang pernah berkata kepada saya, "Pemimpin sebenarnya adalah hamba rakyat!" dan bagi saya ia memang ada benarnya.

     # 5 - Mitos Dilahirkan, “Saya tidak boleh jadi pemimpin hebat, kerana ia dalah bakat dalam diri seseorang dan tidak boleh dipelajari!”

Memang benar ada pemimpin yang lahir dengan bakat semula jadi. Namun, jumlah pemimpin yang sedemikian amat sedikit. Realitinya, kebanyakan pemimpin adalah dibentuk melalui pembelajaran. Memimpin adalah kemahiran yang boleh dipelajari. Jika ia tidak boleh dipelajari, sudah tentu tiada buku-buku tentang bagaimana menjadi seorang pemimpin yang dijual di pasaran. Orang yang dipimpin, boleh menjadi pemimpin yang luar biasa jika betul jalan belajarnya.

     # 6 - Mitos Penubuhan, “Saya yang menubuhkan kumpulan ini, maka saya lebih layak untuk memimpinnya!”

Membina sebuah organisasi, tidak bermakna kita layak mengetuainya. Boleh jadi ada orang lain yang lebih layak mengetuainya kita boleh menjadi penasihat atau pemimpin tidak langsung di dalamnya. Tidak sedikit pengasas syarikat besar di luar sana, melantik orang lain untuk memimpin dan mengurus syarikat mereka.
       
Di akhir sekali, walaupun kita tidak jadi pemimpin bagi sesebuah organisasi, ilmu kepimpinan adalah amat penting. Kalau kita tidak guna ia untuk memimpin orang lain, kita masih ada diri sendiri untuk dipimpin. Justeru, belajarlah untuk memimpin. Tidak usah menunggu jadi pemimpin baru mahu belajar.

Ingin menjadi pemimpin bukanlah suatu yang tercela. Yang penting, apa niat kita menjadi pemimpin dan ke mana kita mahu memimpin orang lain, adakah ke arah kebaikan atau sebaliknya?


(Sumber Artikel & Gambar: Blog Suhili) 



BAGAIMANA MAHIR MENDENGAR & DISENANGI ORANG?



Mendengar adalah satu bahagian penting dalam komukasi dengan orang yang ada di sekeliling kita. Dengan mempunyai kemahiran mendengar yang betul, kita akan mudah menjadi seorang yang disenangi dan mampu menyelesaikan banyak masalah dalam kehidupan ini.

Setiap perbualan yang baik dan harmoni dimulai dengan menjadi pendengar yang baik. Begitu juga banyak permasalahan yang timbul dalam hidup kita adalah disebabkan kurang mendengar apa yang disampaikan orang lain, lantas mengakibatkan salah faham. Daripada masalah keluarga sehingga ke masalah di tempat kerja dan di mana sahaja.



Allah s.w.t menciptakan kita dengan dua telinga dan satu lidah, agar kita lebih banyak mendengar daripada banyak berkata-kata. Seseorang pernah berpesan kepada anaknya,

“Wahai anakku, belajarlah seni mendengar seperti mana kamu belajar seni berkata-kata.”

Mendengar boleh dikategorikan kepada dua, iaitu aktif dan pasif. Pendengar yang aktif adalah pendengar yang memberikan respon dan maklum balas, sedangkan pendengar yang pasif hanya duduk diam dan mendengar sahaja.

Ada waktunya kita perlu menjadi pendengar aktif dan ada waktunya juga kita perlu menjadi pendengar pasif.

Berikut adalah tip dan teknik yang kita boleh amalkan untuk menjadi pendengar yang baik dan disenangi oleh orang di sekeliling kita:
  1. Berhenti berkata-kata dan berikan peluang kepada orang lain untuk berkata apa yang mereka mahukan.
  2. Pandang orang yang berkata-kata dengan kita, ia akan membuatkan dia merasa kita mengambil perhatian terhadap perkara yang disuarakannya.
  3. Berikan respon terhadap dengan memberikan pendapatan, sokongan atau bertanya soalan.
  4. Jangan menyampuk perbualan orang lain. Sekiranya terpaksa, mohon maaf terlebih dahulu dan mohon izin untuk bicara.
  5. Ulangi sedikit apa yang diucapkan oleh orang yang berkata-kata itu, dengan itu ia akan menampakkan kita benar-benar serius mendengar ucapannya.
  6. Gunakan bahasa badan yang sesuai apabila mendengar seperti senyum apabila orang lain menyampaikan berita gembira, postur badan dan cara duduk yang betul.
  7. Empathi dan cuba menyelami perasaan orang yang berkata-kata kepada kita.


Islam mengajarkan umatnya agar menjadi pendengar yang baik. Bahkan, jika direnungi, sifat penghuni neraka adalah mereka yang tidak mendengar dengan baik, dengan itu mereka tidak memahami wahyu Allah dan tidak beriman dengannya.

Allah s.w.t berfirman:
“Sesungguhnya Kami jadikan untuk neraka jahanam banyak dari jin dan manusia yang mempunyai hati (tetapi) tidak mahu memahami dengannya (ayat-ayat Allah), dan yang mempunyai mata (tetapi) tidak mahu melihat dengannya (bukti keesaan Allah) dan yang mempunyai telinga (tetapi) tidak mahu mendengar dengannya (ajaran dan nasihat).” (Surah al-A’raaf:179)
Dengan menjadi pendengar yang baik kita akan dapat memahami apa yang disampaikan orang lain serta mengelakkan salah faham dan masalah. Selain itu, dengan mendengar kita juga dapat memperolehi ilmu dan info baru dalam kehidupan seharian dan seterusnya menjadi orang yang disenangi oleh orang lain.


(Sumber gambar: treteskid, forbes, jackeeholder)