Klik LIKE untuk dapatkan kemas kini melalui Facebook anda.

Menyalurkan informasi untuk orang makan gaji dan orang bisnes untuk lebih berjaya dalam kerjaya, kewangan dan bisnes dengan cara patuh syariah.
Memaparkan catatan dengan label Bisnes. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Bisnes. Papar semua catatan

8 LAMAN WEB ANTARABANGSA UNTUK BISNES ANDA.




Sekiranya anda buat bisnes dan inginkan maklumat percuma tetapi mahal dan berkualiti tinggi, perkongsian kali ini adalah antara yang penting buat anda.

Setiap kali sebelum saya menulis sesebuah artikel atau idea untuk dikongsi terlebih saya akan membuat ‘kajian’ dan pembacaaan. Saya akan menelaah buku-buku, video di laman Youtube, senarai emel yang saya langgan, termasuklah melayari laman web yang menyajikan ilmu bisnes yang berkualiti.

Pada kali ini, saya ingin dedahkan kepada anda di antara laman web antarabangsa yang berkualiti berkenaan bisnes, yang pernah menjadi rujukan saya. Di sini saya senaraikan buat anda 8 laman web antarabangsa yang anda boleh jadikan rujukan untuk mengukuhkan lagi bisnes online anda.

     # 1 - JohnChow.Com

     # 2 - Entrepreneur.Com
 

     # 3 - InBoundPro.Net
 

     # 4 -  Content Marketing Institute 

     # 5 - Brian Tracy

 

     # 6 - Learn Blog Tips
 

     # 7 - Smart Passive Income 

     # 8 - CopyBlogger


Walau hanya 8 yang saya senaraikan di sini, tetapi ilmu yang dimuatkan dalam 8 laman web ini pun sudah begitu banyak. Pilih mana-mana laman web yang anda sukai dan dapatkan informasi-informasi yang anda boleh gunakan untuk mengembangkan lagi bisnes anda.









4 KELEBIHAN BISNES ONLINE.



Bisnes dapat dibahagikan kepada dua, iaitu online dan offline. Setiap bisnes ini mempunyai kelebihannya yang tersendiri. Ada yang cenderung buat bisnes online. Ada yang cenderung buat bisnes offline. Malah, ada juga yang menggabungkan kedua-dua bisnes ini dan menjana pendapatan yang lumayan.

Saya adalah orang yang cenderung kepada bisnes online, dan pada hari ini, saya ingin berkongsi dengan anda tentang kelebihan buat bisnes secara online secara ringkas. Apa yang saya tulis ini adalah daripada sudut pandang saya sebagai seorang usahawan online.


     # 1 - Modal Permulaan Rendah.

Apabila memulakan bisnes online, anda tidak perlu modal yang besar - biasanya. Dengan wang kurang daripada RM500 pun anda sudah boleh memulakan bisnes anda sendiri. Berbanding dengan buat bisnes ‘offline’ anda mungkin terpaksa membelanjakan lebih daripada RM1000 untuk sehingga kepada puluhan ribu memulakan bisnes pertama anda. Ini kerana bisnes online tidak memerlukan anda untuk menyewa kedai untuk bisnes dan membeli perabot-perabot dan perkakas untuk memulakan perniagaan anda.


     # 2 - Boleh Buat Dari Rumah Sahaja.

Anda boleh memulakan bisnes online daripada rumah, asalkan ada internet, akaun bank dan komputer. Budaya bisnes dan bekerja di rumah ini, dikenali dengan SOHO. Berbanding bisnes offline, anda mungkin perlu untuk menyewa kedai atau premis untuk memulakan bisnes offline anda. Ketika ini, sewa kedai sahaja bukannya semurah yang disangka.


Sebaliknya, untuk membina premis bisnes online pula, anda mempunyai banyak pilihan sama ada secara berbayar atau pun percuma. Jika anda mahukan yang percuma, anda boleh menggunakan Facebook dan Blog untuk dijadikan premis perniagaan anda, tanpa perlu mengeluarkan duit untuk menggunakan keduanya – melainkan anda perlu bayar elektrik dan bil internet sahaja.


     # 3 - Bisnes 24 Jam Sehari Semalam.

Ada orang salah sangka, apabila buat bisnes online maka kita perlu berada di hadapan komputer sepanjang masa dan melayan pelanggan. Itu adalah kefahaman yang silap. Bisnes online boleh diautomasi atau dengan erti kata mudah, bisnes online masih boleh dilakukan walaupun anda tidak berada di hadapan komputer. Ia boleh dilakukan secara automatik.

Dengan peralatan dan perisian yang canggih pada zaman ini, anda boleh jadualkan tentang promosi anda di internet, tanpa perlu duduk depan komputer sepanjang hari. Misalnya, untuk mengirim dan mengemas kini status Facebook perniagaan anda secara automatik, anda boleh menggunakan perisian Hootsuite. Perisian Hootsuite memudahkan anda untuk menjadualkan kemas kini status Facebook anda, pada bila masa sahaja yang anda sukai

Ini berbeza dengan bisnes offline, anda perlu berada berada di kedai anda setiap hari. Tiada perisian khusus untuk anda melakukannya secara automatik, melainkan anda perlu mengupah pekerja.


     # 4 - Boleh Dilakukan Di Mana Sahaja.

Anda boleh buat bisnes online di mana sahaja, asalkan ada komputer dan talian internet. Berbeza dengan bisnes offline, jika anda menyewa rumah kedai untuk memulakan bisnes anda, maka biasanya anda tidak boleh berpindah-randah sesuka hati. Jika anda tidak menyewa rumah kedai dan melakukan bisnes secara bergerak pula,  pastinya anda akan memerlukan kenderaan khusus untuk melakukan bisnes anda. Jika tidak bijak mengatur perniagaan anda dengan baik, mungkin anda akan terikat dengan bisnes anda dan kurang bebas.







PS: Mahukah anda mempelajari ilmu menjana pendapatan daripada rumah? Klik sini ----> Jana RM800-RM1,000 Secara Part Time Dari Rumah!



(Sumber gambar: MakeIklan, RahsiaNiaga)


3 TIP URUS MASA USAHAWAN INTERNET.


 
Masa adalah antara aset dan modal terpenting yang kita milik dalam hidup, selain wang ringgit. Masa lebih penting daripada wang. Andai wang hilang, kita boleh mencarinya semula, tetapi masa yang pergi tidak akan kembali.

Sebagai usahawan yang berkecimpung dalam bisnes internet, satu masalah yang biasa dihadapi oleh usahawan-usahawan di internet adalah silap mengurus masa. Ada yang duduk berjam-jam di depan komputer, tetapi hasil yang diperolehi adalah kurang. Tidak sedikit aktiviti melencong daripada aktiviti bisnes.



Pada kali ini, saya ingin berkongsi untuk manfaat bersama adalah beberapa panduan mudah untuk pengurusan masa bagi usahawan internet.
  1. Buat jadual waktu untuk urus bisnes setiap hari. Misalnya masa untuk online bisnes adalah 4 jam setiap hari. 1 jam pagi. 1 jam tengahari. 1 jam petang dan 1 jam malam. Pada waktu tersebut, fokus kepada urusan bisnes sahaja berbanding urusan peribadi.
    .
  2. Setiap kali mahu online tanya diri, “Apa yang saya mahu buat?”. Sediakan senarai tugas yang mahu dilakukan, kemudian susun tugasan tersebut mengikut prioriti atau keutamaan. Dahulu perkara yang lebih penting ke atas perkara penting.
    .
  3. Sediakan jam lonceng atau ‘reminder’ dalam telefon untuk mengingatkan berapa lama kita perlu online. Ini bagi mengelakkan kita daripada terbabas dan terlebih waktu daripada yang sepatutnya. Dengan meletakkah tempoh, ia akan buat kita lebih fokus.
Mudah bukan 3 tip ini? Mudah, tetapi ia memberikan impak yang besar kepada bisnes kita sebagai usahawan internet.

Silakan untuk kongsi artikel ini bersama rakan usahawan internet anda. Terutama yang buat bisnes di laman sosial Facebook.


(Sumber gambar: wallsave) 





RAHSIA PAKAR PEMASAR INTERNET (2) : NETWORKING.




Bersatu kita teguh, bercerai kita roboh. Andai kita seorang bertempur di medan perang, hanya ada dua jawapan akan kita perolehi. Pertama, kita akan tewas dan terbunuh dalam peperangan. Kedua, kita akan menang dengan peluang tipis dalam keadaan yang amat memenatkan.

Demikian juga dalam bisnes internet. Ada dua jawapan yang kita hadapi. Pertama kita mungkin akan berjaya tetapi dengan keadaan yang sukar dan payah. Kedua, kita akan tewas dan akhirnya kalah dalam usaha menjadi usahawan internet yang berjaya.

Inilah yang bakal saya kongsikan dengan anda kali ini.

Rahsia kedua pakar pemasar internet berjaya dalam bisnes mereka adalah mereka bergerak secara berjemaah, networking dan bekerjasama sesama antara satu sama lain. Saling bertemu dan memberikan semangat dan bantu membantu dalam bisnes mereka.


Cuba perhatikan minisite jualan-jualan pakar para pemasar internet seperti Tn. Rahman Basri, Tn. Aqif Azizan, Tn. Zamri Nanyan dan Tn. Gobala Krishnan serta ramai lagi.

Apa yang anda temui?

Fakta yang tidak boleh ditolak adalah tidak sedikit daripada minisite jualan mereka itu mempunyai ulasan daripada rakan-rakan seperjuangan mereka sendiri. Ada antara pengulas-pengulas tersebut adalah terdiri daripada mereka yang mempunyai autoriti yang tinggi.

Malah, apabila diperhatikan tidak sedikit daripada kita yang menerima emel daripada para pakar pemasar internet yang secara langsung mempromosikan produk dan servis rakan-rakan seperjuangan mereka. Misalnya, saya pernah menerima emel daripada Tn. Faisal Abdullah yang mempromosi Tn. Aqif Azizan dan produknya.

Tn. Aqif Azizan juga pernah mengirimkan emel kepada pelanggan-pelanggan newsletter beliau mengenai produk Tn. Faisal Abdullah yang bernama Simple Tapi Power dan produk Tn. Jamaluddin Bahari iaitu Latest FB Ads Marketing.

Terdapat pelbagai bentuk manfaat networking yang diperolehi. Bukan sahaja anda bakal mendapat promosi percuma daripada orang-orang yang sebarisan dengan anda, tetapi anda juga berpotensi menjana keuntungan yang lumayan apabila melancarkan projek bersama-sama.



Justeru, dapat disimpulkan di sini, jika anda benar-benar mahu menjadi usahawan internet yang berjaya, maka berusahalah untuk membina network (rangkaian) bersama usahawan-usahawan lain. Semakin luas dan besar network yang anda berjaya bina maka anda akan semakin berjaya dalam bisnes yang anda lakukan.






RAHSIA PAKAR PEMASAR INTERNET (1) : MEMPUNYAI PRODUK SENDIRI.


 

Perhatikan orang berjaya, kemudian tiru cara mereka berfikir dan bertindak, dengan izin Allah suatu hari kita pasti akan mendapat hasil dan kejayaan yang sama seperti mereka.

Percaya dengan prinsip mudah tersebut, saya selalu memerhatikan orang yang berjaya dalam bidang yang saya ceburi. Saya lihat, perhati dan cuba fahami bagaimana mereka mencapai kejayaan-kejayaan tersebut. Saya juga ingin berjaya seperti mereka.

5 tahun daripada sekarang itu sasaran saya. Menjadi usahawan internet sepenuh masa.

Dalam usaha menjadi usahawan internet atau secara khususnya, saya perhatikan Pakar Pemasar Internet atu Internet Marketer seperti Tuan Rahman Basri, Tuan Zamri Nanyan, Tuan Faisal Abdullah, Tuan Oswald Justin, Tuan Jamaluddin Bahari dan Tuan Aqif Azizan.

Terdapat banyak perkara yang saya perolehi. Ada yang saya telah mula praktik dan amal. Mengikut keutamaan dan kesesuaian situasi saya sekarang. Insya’ Allah, saya akan cuba berkongsi dengan anda tentang hasil pemerhatian saya.

Berdasarkan pemerhatian, saya dapati, mereka semuanya mempunyai beberapa kriteria. Tidak semua kriteria yang saya kongsi ini dibuat oleh semua Pemasar Internet, tetapi saya akan senaraikan yang digunakan oleh majoriti.

Bagi penulisan pertama dalam siri ‘Rahsia Pakar Pemasar Internet’ inilah kriteria yang saya temui:

     # 1 - Mempunyai Produk Sendiri.

Majoriti daripada Pemasar Internet atau Internet Marketer ini mempunyai produk informasi digital mereka yang tersendiri.

     • Tuan Faisal Abdullah - 'Simple Tapi Power'.

     • Tuan Rahman Basri - 'FB Cash Formula'.

     • Tuan Oswald Justin - 'Panduan Like Cara Pro'.

     • Tuan Jamaluddin Bahari - 'DVD Latest FB Ads Marketing'.

     • Tuan Aqif Azizan - 'Menjual Produk Tanpa Menyakitkan Hati Pelanggan'.

     • Tuan Zamri Nanyan - 'Pakar Affiliate - Panduan Pemasaran Affiliate'.
·     
Itu cuma beberapa Pakar Internet Marketer yang saya senaraikan dan hanya satu produk mereka yang saya nyatakan. Banyak lagi yang saya belum sebutkan.

Mempunyai produk sendiri adalah salah satu daripada kunci kekayaan majoriti Pemasar Internet. Demikian pengakuan yang dibuat oleh Tuan Zamri Nanyan.

Kini saya sedang mengorak langkah untuk menjadi seperti mereka. Saya mempunyai beberapa produk informasi digital saat ini. Yang baru dilancarkan adalah pakej, ‘Strategi Buat Duit Dengan Group Facebook’. Dalam masa 7 hari dilancarkan, ia telah memberikan pulangan lebih RM200 kepada saya. Alhamdulillah.

Selepas membaca pernyataan di atas, mungkin persoalan yang terlintas dalam fikiran anda adalah, 

"Bagaimana saya mahu buat produk informasi digital seperti mereka?"


Jika itu soalan yang bermain dalam minda anda, sebelum mengakhiri catatan ringkas ini, saya gembira membantu anda untuk mendapatkannya jawapannya.

Mari dapat jawapan anda di sini: Pakar ProdukDigital.

http://internet.ashadee.com/go/ebook001/

Dengan panduan yang dinyatakan dalam Pakar Produk Digital, insya' Allah, anda juga mampu mempunyai produk sendiri seterusnya menjana pendapatan lumayan daripadanya. Tiada yang mustahil, andai anda benar-benar menginginkan kejayaan.

Jumpa lagi dalam pendedahan saya yang akan datang.








4 RESEPI BINA BISNES MENGUNTUNGKAN.


 
John Paul DeJoria adalah pengasas bersama syarikat John Paul Mitchell Systems pada tahun 1980. Ketika itu beliau hidup merempat dan tidak mempunyai rumah dan tempat tidur beliau adalah dalam kereta lama Rolls Royce miliknya.

Pada waktu itu John Paul bersama rakannya kongsinya sendiri yang menjual produk syampu keluaran mereka. Kini, selepas lebih 30 tahun berlalu, beliau telah berjaya menjana keuntungan $ 1 billion dollar setahun daripada bisnesnya.

Dalam membangunkan bisnes yang menguntungkan, John Paul telah berkongsi 4 resepi keusahawanan dan diterbitkan dalam laman web Forbes. Di sini 4 resepi keusahawanan beliau itu saya ubah sedikit agar ia bersesuaian dengan budaya bisnes Islam di Malaysia.

     # 1 – Produk Yang Bagus.
 

Cipta atau dapatkan produk bagus yang boleh membawa bisnes anda maju ke hadapan. Produk yang bagus adalah produk yang membawa kebaikan kepada orang ramai, menambah nilai serta memperbaiki kehidupan mereka.

Dengan mencipta produk yang bagus, pengguna akan membelinya berkali-kali dan berkongsi tentang produk tersebut dengan rakan-rakan mereka.

     # 2 – Tetap Pendirian.

Apabila menjalankan bisnes, seseorang pastinya bakal menghadapi penolakan, saranan-saranan negatif dan kerugian. Justeru, seseorang usahawan perlu bersabar dan bertahan dengan visi bisnesnya dan tidak mudah mengalah. Jangan biarkan kesusahan yang dihadapi sepanjang jalan mematahkan semangat untuk menjadi usahawan yang berjaya.

     # 3 – Tawan Pelanggan Awal.

Apabila seseorang menjadi pelanggan, seorang usahawan mestilah memberikan perhatian kepada mereka dan menjaganya. Hargai mereka, buat mereka gembira agar mereka menjadi pelanggan yang setia. Ini kerana kos mencari pelanggan yang baru adalah tidak mudah dan memerlukan kos yang mahal dari segi masa dan wang.

Dengan melayan pelanggan sedia ada dengan baik, mereka akan berpotensi untuk memberikan merekomen kepada rakan-rakan mereka agar berurus niaga dengan seseorang usahawan.

     # 4 – Pekerja Berkemahiran.

Apabila mengambil pekerja, upah seseorang yang mempunyai banyak kemahiran. Dengan itu, seseorang usahawan tidak perlu mengupah ramai pekerja. Dan perlu ditekankan, apabila seseorang pekerja diamanahkan dengan tanggungjawab yang pelbagai, seorang majikan seharusnya memberi upah yang setimpal dengan usahanya.



(Sumber gambar: forbes)


7 SIFAT RAKAN KONGSI BISNES YANG MENJADI ‘PARASIT’.



Memilih rakan bisnes yang betul adalah satu langkah wajib sekiranya kita mahu berjaya dalam bisnes rakan kongsi. Seperti mana pokok strawberi tidak akan mampu tumbuh dan dihidup di gurun, begitu jugalah nasib bisnes kita. Ia tidak akan bangun, dengan orang negatif menjadi asas tapaknya.

Pemilihan rakan kongsi bisnes yang betul akan memberikan kesan yang besar untuk kita membina bisnes kita. Sebaliknya, bisnes bersama rakan kongsi kita tidak akan berjaya, sekiranya kita tersalah memilih orang untuk bekerjsama.

Nabi Muhammad s.a.w pernah bersabda dalam sebuah hadis:

“Perumpamaan teman yang baik dan buruk adalah seumpama penjual minyak wangi dan tukang besi. Adapun penjual minyak wangi, sama ada dia akan menghadiahkan kamu wangiannya atau kamu akan membeli darinya atau kamu akan mendapat bau harum daripadanya. Sedangkan tukang besi, sama ada dia akan membuatkan pakaianmu terbakar, atau kamu akan mendapat bau yang busuk daripadanya.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Rakan kongsi bisnes yang tidak baik adalah seumpama parasit yang menumpang pada hidupan lain. Tidak membawa kebaikan, malah memudaratkan. Ia hanya memikirkan cara untuk menguntungkan dirinya sahaja.

Di sini, saya kongsikan bersama anda 7 sifat rakan kongsi bisnes yang menjadi parasit dan memusnahkan bisnes kita bersamanya.



     # 1 – Suka Berbohong dan Berdusta.

Selain jujur terhadap pelanggan, kejujuran terhadap rakan kongsi bisnes juga adalah perkara yang amat penting. Orang yang suka berbohong dan berdusta tidak layak untuk dijadikan rakan kongsi bisnes. Menjadikan mereka sebagai rakan kongsi bisnes hanya akan mendatangkan kerugian kepada kita dikemudian hari.

     # 2 – Pecah Amanah.

Rakan kongsi bisnes yang baik mestilah seorang yang dipercayai dan amanah. Sebaliknya orang yang tidak amanah dan tidak boleh dipercayai rakan kongsi bisnes yang merugikan. Ini kerana, apabial dia diamanahkan untuk perkara dan tugas, maka dia tidak akan melaksanakan amanah tersebut dengan telus dan betul.

Seandainya ada rahsia atau masalah antara kita dengan dirinya, pasti masalah itu akan disebarkannya kepada mereka orang lain yang tidak sepatutnya.

     # 3 – Mengajak Kepada Keburukan.

Selalu mengajak untuk melakukan perkara-perkara buruk dan dibenci oleh agama. Lebih mementingkan dunia berbanding akhirat, tanpa memikirkan halal dan berkat dalam melakukan bisnes.

Ajakan melakukan keburukan itu boleh jadi secara langsung atau tidak. Misalnya, mengajak untuk bermesyuarat sehingga terluput waktu solat fardhu atau mengajak menganjurkan program atau menjual produk yang dibenci oleh agama.

     # 4 – Tidak Menepati Masa.

Masa adalah modal yang penting dalam hidup. Orang yang tidak menepati masa adalah ‘perompak’ kehidupan orang lain. Bayangkan, kita berjanji dengan rakan kongsi bisnes pada jam 9 malam, kemudian setengah jam kemudian barulah kita nampak batang hidungnya.

Berjanji untuk bertemu pada waktu yang tertentu, tetapi hanya hadir selepas orang lain sudah lama menunggu. Andai jarang lewat tidak mengapa dan mempunyai alasan, mungkin tidak mengapa tetapi apabila kelewatan dan tidak menepati masa itu menjadi tabiat sehingga menyusahkan orang lain, maka cari sahaja rakan kongsi bisnes yang lain.

     # 5 – Suka Merendah-rendahkan.

Gemar mengkritik dan merendah-rendahkan orang lain. Apabila kita cuba memberikan cadangan atau pemkebaikan, pasti ada sahaja perkara buruk yang dikritiknya. Apabila kita memberikan idea dan pandangan, dia akan memandang idea tersebut sebelah mata dan melihat bahawa pendapatnya sendiri lebih layak diikuti.

Sekiranya kita merancang sesuatu dan melihat peluang, maka dia selalu melontarkan pelbagai kritikan dan andaian negatif yang tidak berasas sehingga mematahkan semangat kita untuk melaksanakannya

     # 6 – Mementingkan Diri.

Asyik mementingkan diri dan tidak menghiraukan perasaan orang lain adalah satu daripada ciri rakan kongsi bisnes yang wajib dijauhi. Orang yang mementingkan diri hanya memikirkan keuntungan yang akan diperolehinya terlebih dahulu.

Seandainya berlaku masalah, maka dia segera menyelamatkan diri dan meninggalkan kita untuk mengurus masalah sendirian. Demikian juga, dalam pembahagian tugas, mereka hanya mahu melakukan perkara yang mudah dan ringan-ringan dan menyerahkan kepada orang lain untuk berusaha keras.

     # 7 – Malas Memperbaiki Diri.

Tiada manusia yang sempurna dan 100 peratus baik. Manusia yang baik, adalah manusia yang apabila ia melakukan kesilapan, maka ia akan membetulkanya dan membetulkan dirinya daripada ke semasa. Sedangkan manusia yang buruk adalah manusia yang kekal dalam melakukan keburukan dan berbangga dengan keburukan yang dilakukannya.

Sekiranya anda mempunyai rakan kongsi bisnes yang menepati sifat-sifat di atas, berusahalah untuk berurusan dengannya secara baik dan saling menasihati untuk kebaikan bersama. Namun, seandainya dia tidak mahu berubah keluar daripada urusniaga tersebut dengan segera adalah langkah terbaik yang perlu dilakukan. Ini kerana, semakin lama anda bersamanya, maka semakin banyak kerugian yang bakal menimpa. 





BELAJAR BISNES DENGAN MAKAN GAJI.

 
Apabila ingin menceburi bidang usahawan atau perniagaan, terdapat antara kita yang bekerja makan gaji menganggap bahawa kita perlu memulakan bisnes barulah kita dapat ‘melatih’ diri atau memulakan hidup seorang usahawan. Selagi tidak memulakan bisnes, maka selagi itu kita menganggap kita tidak dapat belajar menjadi seorang usahawan secara betul.

Namun, sebenarnya, untuk melatih diri menjadi seorang usahawan ia boleh dimulakan dengan menjadi seorang pekerja makan gaji.

Berikut adalah 2 langkah menjadikan kerja makan gaji kita sebagai latihan bisnes:

     # 1 – Tukar Cara Berfikir, ‘Usahawan Makan Gaji’.

Kita semua adalah usahawan dan peniaga. Itu ungkapan yang mungkin terkeluar, apabila kita amati pekerjaan kita sebagai pekerja makan gaji.

Walau secara kasarnya kita tidak nampak produk yang kita jual apabila bekerja makan gaji, sebenarnya kita sedang menjual sesuatu dalam hidup kita.

Apakah dia perkara yang kita jual sebagai orang bekerja makan gaji?

Jawapannya, kita menjual masa dan tenaga kita. Majikan adalah seumpama rakan kongsi dan pelanggan kepada bisnes kita, kemudian setiap hujung bulan kita memperolehi pulangan keuntungan atas ‘kerjasama’, masa dan tenaga yang telah diniagakan.

Mulakan ‘latihan bisnes’ kita dengan menganggap majikan kita seperti rakan kongsi atau pelanggan yang mempunyai kontrak tetap dengan kita.
 

Apabila kita beranggapan sedemikian, kita akan memenuhi apa yang dimahukan oleh majikan dalam kadar segera, jujur kepada majikan, amanah dan bertanggung jawab dalam bekerja. Bantu majikan menyelesaikan masalah dan tunjukkan yang kita mengambil berat tentang mereka dan lakukan perkara yang boleh menambah nilai kepada mereka.

Disamping berusaha belajar atau mengamalkan ilmu bisnes – cara berurusan dengan pelanggan – yang sudah dipelajari, kita juga akan berpeluang untuk mendapat kenaikan pangkat atau gaji.

Dengan mengadaptasikan cara berfikir di atas, kita telah memulakan latihan bisnes daripada minda kita untuk menjadi usahawan yang berjaya suatu hari nanti.

     # 2  – Kerja Untuk Belajar, Bukan Untuk Duit Semata.

Andaikan pada 5 tahun akan datang, kita ingin mempunyai sebuah bisnes yang berjaya, tetapi kita tidak mempunyai pengalaman. Apakah yang perlu kita buat untuk mencapai matlamat kita itu?

Pertama, belajar secara ‘try and error’, sehingga bisnes kita berjaya. Dalam keadaan pengetahuan yang kurang, kita terjun buat bisnes kita mahu. Apabila ada kesilapan, kita perbaiki dan perbetulkan. Kata orang Jepun, kaizen.

Kedua, cari mentor dalam bidang yang kita mahu ceburi. Buat bisnes sambil belajar dengan mentor tersebut.

Ketiga, bekerja makan gaji sambil belajar dalam bisnes yang berkaitan dengan bidang bisnes yang ingin kita ceburi.

Sekiranya, kita mahu buat bisnes restoran pada 5 tahun daripada sekarang, maka kita mencari kerja buat sementara waktu di sebuah restoran yang berjaya berkaitan bidang kita.

Sambil kita belajar, kita cuba mendapatkan ilmu secara pratikal dengan memerhatikan bagaimana restoran berjaya itu diuruskan, siapa yang membekalkan sumber pada mereka, macam mana pengurusan pekerja diuruskan dan sebagainya.

Buat kerja makan gaji yang boleh melatih kemahiran yang penting dan diperlukan untuk bisnes kita pada masa hadapan.



Jika kita bekerja dengan niat mendapatkan gaji untuk meneruskan hidup setiap bulan, maka itu sahaja perkara yang akan kita perolehi. Tetapi, apabila kita bekerja dengan niat untuk belajar, maka kita akan mendapatkan perkara yang lebih berharga daripada wang dalam hidup kita. Apakah dia? Tuliskan pendapat anda dalam ruang komen di bawah...





(Sumber gambar: wellkeptwallet, evancarmichael, careers.ucr)



BISNES DAN REZEKI.



“Sesungguhnya Allah s.w.t memberi rezeki kepada sesiapa yang dikehendakiNya dengan tidak terhitung jumlahnya.” – Surah Ali Imran, ayat 37.


Setiap orang telah ditentukan rezekinya bagaimana. Ia telah tertulis sejak azali lagi. Yang membezakan hanyalah sikit atau banyak rezeki yang akan diperoleh oleh seseorang.

Rezeki bukan sahaja dalam bentuk wang ringgit atau harta yang kita miliki. Ia juga boleh datang dalam bentuk makanan atau apa yang kita guna seharian dalam kehidupan kita. Kerana, apa-apa yang dapat kita nikmati, itu adalah rezeki.

Jadi, dalam perniagaan yang dijalankan, rezeki bukan sahaja diukur dalam bentuk banyaknya wang ringgit yang masuk ke dalam akaun syarikat setiap hari. Ia juga adakalanya masuk ke syarikat dalam bentuk lain, seperti penambahan cawangan, pembesaran premis, jumlah jualan produk bertambah kuantitinya.

Proses pengumpulan harta dan kekayaan adalah proses biasa bagi seorang usahawan. Tiada seorang pun usahawan yang melakukan perniagaan tidak mahukan keuntungan dalam perniagaan. Keuntungan adalah kunci utama supaya perniagaan itu dapat berkembang dengan baik.

Tanpa keuntungan, syarikat yang anda bangunkan tidak dapat bertahan. Malah, jika ada sekalipun, ia menjadi seperti hidup segan mati tidak mahu.

Sebagai seorang usahawan Muslim, sudah menjadi tanggungjawab kita untuk terus-terusan mencari rezeki dan kongsikan sebahagian rezeki yang diperolehi dengan orang lain. Perkongsian itu boleh menjadi dengan ahli keluarga anda, para pekerja, atau ahli masyarakat di kawasan anda.

Rezeki adalah milik kita sekiranya kita dapat merasa nikmat darinya. Iaitu sesuatu yang dapat kita gunakan atau makan juga adalah nikmat dari rezeki tersebut. Jika rezeki yang tidak dapat kita nikmati, ia bukanlah rezeki kita. Ia berkemungkinan menjadi rezeki insan lain.

Sebagai contoh, anda mendapat hasil jualan yang tinggi pada bulan ini. Tetapi 80% dari hasil jualan itu tidak berada dengan anda. Wang yang masuk ke dalam akaun anda terpaksa dikeluarkan semula untuk digunakan pada pembelian produk baru, membayar gaji staf termasuk bonus, membayar cukai kerajaan dan pelbagai lagi. Ini bermakna rezeki yang datang kepada anda tersebut bukanlah menjadi hak anda. Anda hanya sebagai pemegang amanah.

Justeru, sebagai seorang usahawan, sudah menjadi tanggungjawab kita memegang amanah yang dipertanggungjawabkan kepada kita sebagai Muslim. Bersedekah, berzakat dan membantu sesama Muslim yang lain adalah salah satu jalan untuk anda menyerahkan kembali amanah Allah itu kepada yang berhak.

Sebagai usahawan, kita perlu berusaha lebih gigih supaya lebih banyak rezeki yang masuk kepada kita merupakan rezeki yang dapat kita nikmati, Insya' Allah.

Semoga kita sukses selalu.

Wallahu a`lam.

Artikel ini ditulis oleh :

Shah Othman. Seorang usahawan, trainer dan penulis yang bergiat aktif dalam melahirkan ramai usahawan baru. Beliau telah menghasilkan buku-buku berkaitan perniagaan dan pemasaran, antaranya adalah Bongkar Gaya Jutawan Islam dan Bongkar Kuasa "P" Dalam Bisnes.

Layari laman Facebook beliau di Shah Othman dan Success Mind Training.


NIAT DISEBALIK PERNIAGAAN.

Menjalankan perniagaan sendiri adalah impian setiap orang yang mahu menjadikan perniagaan sebagai sumber pendapatan utama. Impian yang sudah pastinya ditanam sejak sekian lama.

Namun, disebalik menjalankan perniagaan, adakah kita tahu apa sebenarnya yang kita mahukan dari perniagaan tersebut? Adakah kita tahu apa yang kita akan dapatkan dari perniagaan yang kita jalankan?



Perniagaan adalah salah satu sunnah Rasulullah s.a.w. Apabila kita melakukannya, bermakna kita sudah pun mengikut apa yang dilakukan oleh baginda semasa baginda hidup dahulu.

Perniagaan Sebagai Perjuangan.

Menjalankan perniagaan juga adalah satu dari perjuangan yang perlu dipikul oleh umat Islam. Kerana jihad ekonomi adalah satu jihad yang mulia. Apabila ramai umat Islam yang menjalankan perniagaan, ekonomi ummah akan bertambah maju dan memudahkan makanan atau produk-produk yang halal dan patuh syariah dapat digunakan oleh umat Islam yang lain.

Justeru, adalah perlu kita melihat kembali apakah niat semasa kita memulakan perniagaan dahulu. Niat yang kita tanamkan dalam hati dan minda kita semasa mahu memulakan perniagaan. Allah s.w.t sangat pemurah. Allah s.w.t telah mengatakan, Dia akan mengikut apa yang kita mahukan, apa yang kita pohonkan. Apa sahaja yang kita minta akan diberikan, oleh Allah s.w.t.

Niat dalam perniagaan menentukan pulangan bagaimanakah yang kita mahukan dari perniagaan tersebut.

Adakah kita mahu pulangan dalam bentuk wang ringgit supaya kita menjadi kaya wang dan kaya harta? Atau kita mahukan pulangan yang lebih lagi, iaitu kaya wang, kaya harta dan mendapat kekayaan di akhirat nanti?

Semuanya bergantung kepada apa yang kita minta dan doakan.


Niat Membuahkan Hasil.

Jika niat kita semasa memulakan perniagaan sudah tidak baik, sebagai contoh, mahu membuka perniagaan kerana mahu menyebarkan produk dan makanan yang tidak patuh syariah kepada orang ramai, maka balasan yang buruk juga akan diterima kita.

Jika niat perniagaan kita adalah untuk membantu menaikkan ekonomi dan memberikan pilihan alternatif kepada lambakan produk dan makanan yang tidak patuh syariah di pasaran, sudah pasti jalan yang luas akan terbuka dan balasan yang baik juga untuk kita semua.

Sudah pasti anda mahukan balasan yang baik dalam menjalankan perniagaan. Saya percaya, sudah menjadi impian setiap usahawan agar segala titik peluhnya dalam dunia perniagaan mendapat keberkatan dan segala pendapatannya adalah pendapatan yang berkat.

Niatlah sesuatu yang baik-baik dalam menjalankan perniagaan. Jihad ekonomi sebagai satu tarbiah yang mendorong diri kita melakukan sesuatu yang baik dan berguna kepada setiap masyarakat dan umat Islam. 


Wallahu’alam.

Artikel ini ditulis oleh :

Shah Othman. Seorang usahawan, trainer dan penulis yang bergiat aktif dalam melahirkan ramai usahawan baru. Beliau telah menghasilkan buku-buku berkaitan perniagaan dan pemasaran, antaranya adalah Bongkar Gaya Jutawan Islam dan Bongkar Kuasa "P" Dalam Bisnes.

Layari laman Facebook beliau di Shah Othman dan Success Mind Training.


( Sumber gambar: mustread, facebook, nazlibintiabbas )

BISNES BERJAYA YANG DIREDHAI ALLAH.


 
Apabila sebut bisnes yang berjaya kebanyakan daripada kita hanya berfikir ia adalah bisnes yang mampu menjana pendapatan lumayan dan membuatkan kita hidup senang.

Dalam penulisan ini, saya ingin bawa anda agar melihat bisnes yang berjaya daripada sudut pandang  yang berbeza dan makna yang lebih luas. Tidak terhad kepada persoalan dunia semata-mata.

Berikut adalah erti bisnes yang berjaya yang saya utarakan.

Bisnes Membawa Kebaikan Di Dunia & Akhirat.

Bisnes yang berjaya adalah bisnes yang membawa kebaikan di dunia dan di akhirat. Di mana ia bukan setakat membuahkan keuntungan kewangan, tetapi menghasilkan pahala dengan menjadi medium yang membawa kebaikan buat manusia di dunia dan akhirat, apabila ia dilaksanakan dengan berpandukan ajaran Islam.

Jika dijalankan dengan betul, bisnes boleh menjadi sebuah ibadah kepada kita. Tetapi, jika ia dijalankan dengan cara yang salah, maka ia boleh menjadi penyumbang dosa kepada kita.

Perkara Yang Perlu Diperhatikan.

Berikut antara perkara yang perlu diperhatikan agar bisnes kita menjadi patuh syariah, diredhai Allah dan menjadi sebuah ibadah yang membuahkan pahala.

  1. Tidak menjual produk atau menyediakan servis yang bercanggah dengan Islam. Contohnya menjual rokok, minuman keras dan majalah-majalah yang meruntuhkan moral.
  2. Bisnes tersebut tidak membuatkan kita lalai daripada perintah wajib seperti solat. Sediakan waktu atau ruang untuk pekerja kita mengerjakan solat dan beribadah.
  3. Menerapkan pergaulan berpandukan syariah daripada peringkat rendah sehingga ke peringkat atasan, dan menjauhi ikhtilat. Jika diasingkan tempat antara pekerja lelaki dan wanita, itu adalah yang sebaiknya.
  4. Tidak bekerjasama secara langsung dengan golongan yang memusuhi dan memerangi umat Islam. Contoh menjual senjata api dan bekalan makanan kepada orang memerangi umat Islam secara terang.
  5. Menjalankan urus niaga dengan berpandukan ajaran Islam dalam urusan bisnes atau fikah muamalat – jual beli, hutang, riba dan sebagainya.
  6. Jika seorang majikan, maka ia hendaklah menjalankan usaha mengajak orang bawahannya agar melakukan kebaikan dan menghindari kemungkaran. Contohnya, melarang pengiklanan mendedahkan aurat wanita.

Ingat, dunia hanyalah persinggahan. Suatu hari kita akan meninggalkannya. Beruntunglah manusia yang bekerja di dunia, tetapi ia tidak melalaikan ia daripada kewajipan terhadap Allah.

Jika anda mempunyai pandangan atau komen berkenaan apa yang saya utarakan dalam penulisan ini, saya amat mengalu-alukan anda untuk menuliskannya di ruang komen di bawah. Semoga Allah memberkati kita semua.

Bisnes yang berjaya itu adalah bisnes yang membawa kebaikan di dunia dan akhirat. 

(Sumber gambar: macbrianmun)

DI MANA MAHU CARI MODAL BISNES?

 
"Di mana mahu cari modal bisnes?" Itu persoalan yang berlegar dalam fikiran setiap orang baru dalam dunia bisnes. Untuk dapatkan modal, terdapat pelbagai cara.

Meminjam daripada bank, meminjam daripada ahli keluarga dan orang sekeliling, gunakan wang pelaburan orang lain atau menggunakan wang simpanan kita sendiri.

Jika kita pertama sekali memulakan bisnes, tiada pengalaman, cara yang terbaik adalah dengan menggunakan wang simpanan sendiri.

Meminjam wang daripada bank untuk memulakan bisnes adalah amat berisiko, ini kerana lebih 60 peratus bisnes gulung tikar tidak sampai 5 tahun beroperasi.

Jika bisnes kita rugi dan gagal, akibatnya kita akan hidup susah. Sudahlah mata pencarian tertutup kerana bisnes gulung tikar, dikejar pula oleh bank untuk bayar hutang.

Meminjam dengan ahli keluarga dan rakan-rakan tidak kurang juga risikonya. Jika kita tidak dapat membayar semula wang yang kita pinjam, ia boleh meretakkan hubungan dan hilang kepercayaan.

Justeru, cara yang terbaik adalah memulakan bisnes dengan apa yang ada dalam tangan kita. Wang simpanan. Jika tiada wang simpanan, maka mulalah untuk menyimpan daripada sekarang.

Berapa Modal yang Kita Perlu?


Untuk mula bisnes kita tidak perlu modal yang banyak, dan tidak semestinya guna peralatan yang canggih dan mahal. Mungkin kita boleh guna peralatan yang sudah sedia ada di rumah kita.

Dengan wang bawah RM100 kita sebenarnya sudah boleh memulakan bisnes. Pengalamana saya bersama ibu saya, kami pernah mencuba memulakan bisnes burger dari rumah dengan modal kurang daripada RM50 sahaja untuk beli bahan asas.

Dengan menggunakan peralatan sedia ada di rumah, tanpa memerlukan tempat khas untuk memasak daging burger, akhirnya dengan modal RM50, kami berjaya gandakan menjadi lebih RM200 ringgit.

Itu antara pengalaman berharga yang saya pelajari di awal menceburi dunia bisnes. Biar kecil, asal berhasil.

Mulakan bisnes kecil-kecilan dengan modal yang kecil, simpan untung, kemudian besarkan atau tutup dan buka bisnes baru dengan untung yang sudah dikumpulkan.

(Sumber gambar: mybiebie)

USAHAWAN, DILAHIRKAN ATAU DIBENTUK?


Dahulu pada waktu mula mendekati ilmu bisnes, pernah timbul soalan dalam minda saya, kebolehan berbisnes atau menjadi seorang usahawan itu bakat semula jadi atau ia dipelajari?

Adakah benar dakwaan bahawa seseorang itu sememangnya dilahirkan menjadi usahawan, lalu dia menjadi usahawan berjaya?

Jawapan yang saya perolehi atas soalan tersebut adalah keusahawanan itu adalah dipelajari, ia bukannya secara semula jadi atau kurniaan istimewa. Ia dipelajari secara sedar dan tidak sedar.

Secara asasnya lahirnya kita ke dunia ini dalam keadaan tanpa mengetahui sesuatu pun, kemudian kita belajar pelbagai perkara yang kita lalui, lalu kita ambil yang kita mahu dan kita tinggalkan apa yang kita tidak mahu.

Dalam Islam disebutkan seorang bayi itu adalah ibarat kain putih dan ibubapanya - termasuk orang sekeliling - yang akan mencoraknya, secara sedar atau tidak.

Menurut Robert T. Kiyosaki dalam bukunya Rich Dad's Before You Quit Your Job, bertanya soalan, adakah seorang usahawan itu dilahirkan dengan bakat semula jadi atau dengan cara belajar, adalah seumpama bertanya soalan, adakah seseorang itu dilahirkan untuk bekerja makan gaji atau dipelajari.

Saya percaya, tiada orang dilahirkan untuk makan gaji atau jadi usahawan. Yang ada, setiap orang belajar secara sedar dan tanpa sedar, lalu buat keputusan untuk bekerja makan gaji atau usahawan.

Justeru, kalau tidak mahir bisnes, jangan terus mengalah dan kata pada diri, 
"Mungkin saya tidak dilahirkan untuk jadi usahawan!"
Berusahalah sebaik mungkin, sebelum mengalah. Pelajar ilmu bisnes dan keusahawanan yang betul secara berterusan, kemudian terus praktikkan dalam kehidupan, insya' Allah kita akan jadi usahawan yang berjaya!


APAKAH PRODUK YANG LARIS DIJUAL DI INTERNET?


Berikut adalah statistik jual beli produk secara online.


Sila klik gambar untuk melihat dengan lebih jelas.

Maklumat ringkas daripada infografik di atas.

65 % membeli secara online. 35 % tidak membeli secara online.

56 % pembeli adalah daripada kalangan lelaki, dan 44 % adalah daripada kalangan wanita.

40 % yang membeli secara online berumur daripada 18 hingga 21 tahun.

69 % jual beli berlaku ke atas produk pakaian dan aksesori.

87 % jual beli melalui laman web, 32 % melalui Facebook dan 11 % daripada alat mobile seperti telefon.

58 % pembayaran melalui kad kredit, 28 % melalui bank transfer dan 30 % melalui cash on delivery.




MENGAPA MAHU BUAT BISNES?




Buat bisnes adalah antara usaha yang boleh menjana pendapatan lumayan, jika betul caranya. Tetapi, buat bisnes kerana ingin buat duit semata-mata itu adalah tidak memadai. Kita perlu ada minat dan cinta bisnes yang kita buat.

Untuk tahu adakah kita benar-benar minat dan cinta apa yang kita buat, tanya diri kita, adakah kita sanggup buat ia secara percuma?

Ini penting, kerana ada ketika dalam bisnes, kita tidak melihat wang masuk dalam poket kita. Saat ini, sekiranya motivasi atau pendorong kita buat bisnes adalah untuk buat duit semata-mata, maka kita akan berhenti, kecewa dan berputus asa.


Tetapi, apabila pendorong kita adalah minat dan cinta apa yang kita buat itu, ada duit masuk atau tiada, kita akan teruskan juga. Cinta dan minat dalam diri akan menjadi motivasi yang menggerakkan kita, sehingga akhirnya kita berjaya.

Ada orang pernah kata pada saya, untuk bahagia kita perlu buat apa yang kita suka. Kalau tidak mampu, maka belajar untuk sukai apa yang kita buat.

Sesuatu yang saya suka tentang bisnes selain buat duit adalah saya rasa bebas. Anda pula bagaimana?