Klik LIKE untuk dapatkan kemas kini melalui Facebook anda.

Menyalurkan informasi untuk orang makan gaji dan orang bisnes untuk lebih berjaya dalam kerjaya, kewangan dan bisnes dengan cara patuh syariah.

4 SUMBER KEKUATAN MAGNET PENGARUH.



Setiap Orang Mempunyai Pengaruh.

Pengaruh adalah satu keupayaan untuk memberikan kesan atau mengubah sesuatu kepada sesuatu yang baru. Dan boleh dikatakan setiap orang daripada kita sememangnya mempunyai pengaruh. Sama ada ia dibentuk secara sedar ataupun tidak sedar. Bezanya batas pengaruh itu adakah besar atau tidak.

Orang yang mempunyai pengaruh, dia akan mempunyai kemampuan untuk memberi kesan kepada orang lain dan mendapatkan apa yang diinginkannya. Ia boleh mencetuskan kebaikan dan keburukan dengan melihat kepada cara hidup kita seharian, dengan erti kata lain ia boleh mencetuskan pahala dan dosa.

Pengaruh juga sinonim dengan kuasa. Lantaran itu, tidak hairan mengapa ramai orang yang ingin menjadi orang yang berpengaruh, sehinggakan buku berkaitan pengaruh yang berada di pasaran antara buku yang laku keras.

Sumber Kekuatan Magnet Pengaruh.

Berdasarkan pemerhatian, terdapat beberapa perkara yang boleh membuatkan seseorang itu menjadi orang yang berpengaruh.



     1. Pengetahuan dan kepakaran.

Apa yang dihasilkan dan diucapkan oleh orang yang mempunyai pengetahuan dan kepakaran dalam sesuatu bidang biasa dijadikan pegangan dan ikutan. Dengan ilmu dan pengetahuan yang mereka miliki, orang percaya bahawa apa yang mereka hasilkan, ucap dan lakukan adalah sesuatu yang benar dan membawa kebaikan.

Muhammad ibn Ismail al-Bukhari yang mengarang Shahih al-Bukhari adalah seorang yang dikenali sebagai berilmu tinggi dan pakar dalam ilmu hadis. Apabila beliau memberikan penilaian terhadap sesuatu hadis maka orang yang belajar agama pasti akan menjadikan penilaiannya pegangan, kerana mereka telah faham al-Bukhari adalah tokoh yang amat pakar dalam hadis.

Puan Ainon Mohd. adalah seorang usahawan wanita yang berjaya dan merupakan pengasas kepada syarikat PTS Media Group Sdn. Bhd. Atas pengalaman dan pengetahuan yang mendalam dalam bidang bisnes dan keusahawanan selama bertahun-tahun, apa yang beliau sampaikan berkenaan bisnes mendapat sambutan ramai daripada orang-orang yang ingin mendalami ilmu bisnes.

     2. Budi Pekerti dan Akhlak Mulia.

Sikap yang baik dan mulia seperti jujur dan sopan dalam berkata mampu memberikan kesan kepada orang lain. Ia membuatkan kita merasa senang dan selamat dengan seseorang, dan merupakah salah satu daripada sumber pengaruh yang besar kepada diri kita.



Nabi Muhammad s.a.w, baginda menjadi orang yang berpengaruh dan mendapat gelaran sebagai 'al-Amin' yang ertinya yang dipercayai atas kejujurannya dalam berkata-kata dan akhlaknya yang mulia.

Ketika pembukaan Kota Mekah, Nabi Muhammad s.a.w telah bertindak memberikan kemaafan kepada penduduk Mekah dan tidak membalas perbuatan buruk mereka ke atas baginda. Disebabkan kemuliaan akhlak baginda s.a.w itu ramai orang Kafir Quraisy telah memeluk Islam dengan mengucap dua kalimah syahadah.

     3. Persamaan dan Keserasian.

Sifat manusia adalah cenderung kepada orang yang mempunyai persamaan dengan mereka. Kita biasa melihat orang orang yang gemar membaca buku, menulis buku dan berkongsi dengan orang lain, maka dia akan cenderung untuk suka dan gemar kepada orang yang mempunyai persamaan dengan dirinya.

Apabila ada dia bertemu dengan orang yang baru, lalu orang tersebut berkata tentang buku dan penulisan, dia akan lebih selesa dan tertaik untuk bercakap dengan orang tersebut, berbanding orang lain yang kurang atau tiada persamaan langsung dengan diri mereka.

Hakikat yang tidak dapat dipersoalkan lagi, seseorang akan lebih cenderung untuk mengikuti cadangan, nasihat dan saranan orang yang mempunyai persamaan dengan mereka.

     4. Penampilan dan Luaran.

Cara seseorang antara perkara yang dinilai apabila kita berurusan dengan seseorang. Ia memberikan kita gambaran awal  tentang seseorang. Walaupun kita selalu berkata jangan menilai buku daripada luarannya, realitinya setiap daripada kita secara spontan memberikan tanggapan terhadap seseorang melalui penampilan luarannya.

Bagaimana seseorang itu berpakaian, cara dia bercakap, dan fisiologinya. Ia semua diperhatikan, untuk memastikan sama ada ia selari dengan apa yang didakwa oleh orang tersebut atau sebaliknya.

Semakin selari penampilan seseorang itu dengan apa yang didakwanya, maka peratusan dia menjadi orang yang berpengaruh di mata kita adalah lebih tinggi.

Pengaruh Boleh Runtuh.

Pengaruh bukanlah perkara yang statik. Ia boleh dibina dan ditingkatkan, dan ia juga boleh diruntuhkan. Yang jelas juga, tidak semua orang boleh kita pengaruhi, dan tidak semua orang boleh mempengaruhi kita.

Suka atau tidak, pengaruh pasti akan tercipta dalam diri setiap orang. Ia akan menarik orang yang serupa dengan merkea, dan ia berfungsi untuk mewujudkan hubungan yang baik sesama manusia, selagi mana ia bertepatan dengan agama Islam.

Jadi Magnet Menarik Pelanggan Melalui Akaun Peribadi Facebook.

 
Pengaruh memainkan peranan yang penting bagi seseorang usahawan. Ia boleh membentuk jenama diri seterusnya memposisikan seorang usahawan di hati bakal pelanggannya. Ini adalah beberapa perkara yang boleh diamalkan oleh seseorang usahawan untuk meningkatkan pengaruh, memposisikan dirinya seterusnya menarik pelanggan melalui laman sosial Facebook:
  1. Ketahui golongan yang bakal pelanggan, siapa mereka, di mana mereka biasa berada, berapa umur mereka dan jantina mereka.
  2. Fahami apa yang mereka perlu dan mahu. Ia menjadi kunci untuk membina keserasian dan keseragaman antara usahawan dan bakal pelanggannya.
  3. Kongsikan melalui Facebook secara konsisten perkara yang bakal pelanggan suka dan mahu seperti info-info terbaru dan perkara yang mereka cari. Tingkatkan kepakaran tentangnya.
  4. Gunakan Bahasa Melayu Tinggi (BMT) ketika menulis sesuatu di ruang Facebook. Ia menggambarkan seseorang yang mempunyai krediabiliti yang baik, dan boleh melatih penulisan seseorang.
  5. Beri tindak balas terhadap perkara-perkara yang dikongsikan oleh bakal pelanggan melalui Facebook.
  6. Berikan insentif atau hadiah seperti ebook percuma atau video percuma. Ini akan mengeratkan hubungan seseorang usahawan dengan bakal pelanggan melalui laman Facebook.

6 poin ini mengandungi 4 sumber pengaruh yang disebutkan di atas. Jika diamalkan, dengan izin Allah, ia pasti akan dapat mewujudkan hubungan yang baik dengan bakal pelanggan, ia akan mewujudkan kepercayaan dan rasa selamat dalam diri bakal pelanggan untuk berurus niaga kita.



(Sumber gambar: transformleaders, boscoanthony, okhuwa, dailymail)


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Anda mempunyai pendapat, pandangan dan pengalaman berkenaan topik yang dituliskan di atas? Tuliskan di bawah dan kongsikan bersama kami.