Klik LIKE untuk dapatkan kemas kini melalui Facebook anda.

Menyalurkan informasi untuk orang makan gaji dan orang bisnes untuk lebih berjaya dalam kerjaya, kewangan dan bisnes dengan cara patuh syariah.

BONGKAR RAHSIA HUKUM TARIKAN & BUKU MINDA JUTAWAN!




Bagaimana Buku Secret of the Millionaire Mind Boleh Mengubah Kita?

Buku Secret of the Millionaire Mind yang dikarang oleh T. Harv Eker adalah salah satu daripada buku motivasi kewangan dan pembangunan diri yang terkenal dan tersenarai sebagai buku bestseller di New York Times, Wall Street Journal dan USA Today.

Bagi sesetengah orang, buku Secret of the Millionaire Mind (SMM) adalah buku yang hebat untuk mengubah pemikiran seseorang untuk mencapai kekayaan dan menjadi seorang jutawan.

Tidak dinafikan, buku ini memang telah banyak mengubah cara sesetengah orang berfikir. Namun, yang akan dibicara pada penulisan kali ini bukanlah kelebihan tersebut tetapi ‘rahsia’ halus yang mungkin terlepas pandang atau mungkin tidak diketahui oleh sesetengah orang.

Saya membeli buku ini pada tahun 2012 yang lepas. Sepanjang membaca buku ini, saya menyedari satu perkara, iaitu T. Harv Eker ini membawa satu pemikiran yang bercanggah dengan Islam. Sudah lama saya mahu menulis berkenaan perkara ini, tetapi baru sekarang berpeluang untuk menulisnya.

Dalam buku SMM, T. Harv Eker membawa satu pemikiran yang menyekutukan Allah. Ia tidak menghairankan, kerana beliau bukanlah seorang yang menganut agama Islam. Tetapi, tujuan saya membicarakan perkara ini, agar orang-orang Islam yang membaca buku SMM tidak terjebak dengan kesalahan akidah yang terdapat di dalamnya.

Meminta Bantuan Ghaib Daripada Alam: Menyekutukan Allah.


T. Harv Eker dalam buku SMM membawa pemikiran ‘memuja alam’ atau memohon permintaan daripada alam.

Buktinya, pada halaman 117, T. Harv Eker menulis:

“Universe, if anyone has something great coming to them and they’re not willing to take itu, send it to me! I am open and willing to receive all of your belessings. Thank you.”

Pada halaman 67,

“The universe, which is another way of saying ‘higher power’ is akin to a big mail-order department. Is is constantly delivering peole, events, and thing to you. You ‘order’ what you get by sending energetic messages out to universe based on your predominant beliefs. Again, based on the Law of Attraction, the universe will do its best to say yes and support you. But if you have mixed messages in your file, the universe can’t understand what your want.”

Cukuplah dua potongan ayat di atas ini menjelaskan, bahawa T. Harv Eker mengajarkan agar kita memohon dan meminta daripada alam. Apa yang dinyatakan oleh T. Harv Eker ini adalah bersumberkan daripada satu ‘hukum’ yang dinamakan ‘Hukum Tarikan’ atau Law of Attraction (LOA).

Hukum Tarikan?

LOA mengajarkan bahawa kita ini adalah seumpama magnet yang boleh menarik perkara-perkara yang ada disekeliling kita. Salah satu daripada ‘rukun’ LOA adalah dengan meminta daripada alam. Rujuk sini, How to Use the Law of Attraction.

 
Amat membimbangkan, kemungkinan tidak sedikit umat Islam yang terjebak dengan LOA ini apabila membicarakan motivasi kewangan.

Kesimpulannya, LOA dan apa yang diajarkan oleh T. Harv Eker dalam buku SMM tentang Hukum Tarikan adalah bercanggah dengan prinsip Islam yang mengajarkan, apabila kita mahukan sesuatu maka berdoa dan mintalah daripada Allah.

Perbuatan meminta daripada alam adalah satu perbuatan syirik atau menyekutukan Allah. Sesuatu yang wajib diketahui, perbuatan meminta bantuan ghaib daripada selain Allah – dalam konteks ayat di atas adalah alam semesta – adalah perbuatan yang boleh membatalkan keimanan dan mengeluarkan seseorang daripada Islam.

Ia termasuk dalam syirik akbar (besar) yang mana sesiapa yang beramal dengan syirik akbar tanpa bertaubat sehingga meninggal dunia, boleh menyebabkan seseorang itu kekal dalam api neraka. Moga Allah menjauhkan kita daripadanya.

Firman Allah s.w.t:

“Jika kamu mempersekutukan (Allah) nescaya akan terhapuslah segala amalanmu dan kamu akan termasuk orang yang rugi.” (Surah az-Zumar: 65)

Firman Allah s.w.t lagi:

"Sesungguhnya Allah tidak akan mengampunkan dosa syirik mempersekutukanNya (dengan sesuatu), dan Dia akan mengampunkan dosa yang lain dari itu bagi sesiapa yang dikehendakiNya (menurut aturan syariat-Nya). Dan sesiapa yang mempersekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain), maka Sesungguhnya ia telah melakukan dosa yang besar." (Surah an-Nur: 48)

Sabda Nabi Muhammad s.a.w:

"Barang siapa yang bertemu Allah (pada hari akhirat) dengan tidak menyekutukan-Nya dengan sesuatu apa pun, dia akan masuk ke dalam Syurga. Dan barang siapa bertemu-Nya dengan menyekutukan-Nya dengan sesuatu, dia akan masuk ke dalam Neraka.” (Shahih Muslim, no. 136)

Berdoa Kepada Allah.

Apabila kita menginginkan sesuatu perkara, berdoalah kepada Allah. Tiada yang memperkenankan doa melain Dia jua. 


Firman Allah:

“Berdoalah kamu kepada-Ku nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu.” (Surah al-Mukmin : 60)

Nabi Muhammad s.a.w bersabda:

“Doa adalah ibadah. Tuhan kalian berfirman, berdoalah kepadaku, nescaya akan aku perkenankan untukmu. Sesungguhnya orang-orang yang menyombongkan diri dari mengibadahi-Ku akan masuk neraka Jahannam dalam keadaan yang hina.” (Sunan at-Tirmidzi, no. 3247. Darjatnya hasan shahih)


P/S: Dicadangkan untuk menyebarkan artikel ini, agar tiada umat Islam yang terjebak dengan kesilapan akidah dan kesyirikan yang terdapat dalam buku Secret of the Millionaire Mind dan mana-mana buku yang memuatkan LOA. Moga usaha kecil ini, akan beri manfaat kepada kita bersama-sama.

(Sumber gambar: Sathish J , Aswany)



Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Anda mempunyai pendapat, pandangan dan pengalaman berkenaan topik yang dituliskan di atas? Tuliskan di bawah dan kongsikan bersama kami.