Klik LIKE untuk dapatkan kemas kini melalui Facebook anda.

Menyalurkan informasi untuk orang makan gaji dan orang bisnes untuk lebih berjaya dalam kerjaya, kewangan dan bisnes dengan cara patuh syariah.

10 LANGKAH BEBAS HUTANG.

 
     1. Niat dan Matlamat.

Tetapkan niat dan matlamat untuk membayar kesemua hutang yang telah kita buat. Impikan hidup kita setelah bebas daripada hutang, dan betapa bahagianya kita.

Nyatakan matlamat kita untuk bebas hutang dengan jelas, berpandukan cara menetapkan matlamat yang sudah dikongsikan sebelum ini.
     
     2. Buku Hutang.

Senaraikan semua hutang yang kita, daripada pinjaman pelajaran sehinggalah kepada pinjaman peribadi. Lihat status hutang kita, berapa jumlah yang masih perlu dibayar, tempoh yang masing tinggal dan ansuran bulanan.

     3. Berhenti Buat Hutang Baru.

Tiada guna usaha kita untuk menutup lubang, tetapi dalam masa yang sama kita menggali lubang baru yang lain. Justeru, berhenti berhutang berusahalah untuk tidak berhutang kecuali benar-benar perlu dan terdesak.

Jangan sesekali berhutang untuk membeli benda yang tidak memberikan keuntungan jangan panjang kepada kita. Cari alternatif lain sebelum berhutang.

     4. Tambah Pendapatan.

Jika ada peluang untuk menambah pendapatan, ambil peluang tersebut. Dengan bertambahnya pendapatan, kita mempunyai peluang untuk membayar hutang yang telah dibuat dengan lebih mudah dan lebih banyak hutang boleh dilangsaikan.

Tidak semestinya kita perlu buat bisnes untuk meraih lebih pendapatan. Tingkatkan prestasi dan kualiti kita ditempat kerja yang seterusnya memberi peluang kita dinaikkan pangkat dan gaji.

     5. Tepati Masa.

Bayar hutang mengikut waktu yang telah ditetapkan. Pastikan kita ingat bila waktunya kita perlu membayar hutang-hutang kita, agar tidak terlupa dan terlewat untuk membayarnya. Itu pentingnya kita membuat buku hutang.

     6. Bayar Lebih.

Jika mempunyai wang lebih dan berpeluang untuk membayar lebih hutang kita, maka lakukan. Apabila kita mendapat wang bonus pada setiap akhir tahun, pastikan kita sediakan amaun tertentu daripada wang bonus tersebut untuk membayar hutang.

Cuba berbincang dengan pemiutang apabila kita mampu untuk memendekkan tempoh membayar hutang kita.

     7. Utamakan Yang Lebih Riba.

Utamakan untuk melangsaikan hutang yang mempunyai riba atau lebih banyak ribanya. Ini bagi mengelakkan pertambahan hutang kita daripada jumlah yang sepatutnya kita bayar. Jika kita tiada hutang yang mempunyai riba, bayar hutang yang paling sedikit dahulu.

Dengan melangsaikan hutang yang paling sedikit, ia akan memberikan kita semangat untuk melangsaikan hutang yang lebih besar.

     8. Sedekah.

Sedekah tidak akan mengurangkan harta. Berdasarkan apa yang berlaku disekeliling kita, orang yang gemar bersedekah, mereka memperolehi rezeki yang tidak disangka-sangka. Berikan sedekah menurut kemampuan kita, tidak banyak pun tidak mengapa.

     9. Jangan Berputus Asa.

Apa pun yang berlaku, walau sebanyak mana hutang kita, perlu berusaha untuk melangsaikannya. Jangan sesekali menyatakan perkara negatif atau sabotaj diri dengan berkata, "Saya tidak akan mampu langsaikan hutang ini sampai bila-bila!"

Ingat, kejayaan itu bermula daripada minda. Hutang adalah penyakit wang. Dan tiada suatu penyakit yang diturunkan Allah, melainkan pasti ada penawarnya. Justeru, yakin pada Allah dan janjinya.

     10. Berdoa.

Apa pun segala usaha untuk bebas daripada hutang, jangan lupa untuk berdoa. Mohon rezeki yang berkat, banyak dan bermanfaat daripada Allah. Sambil itu tinggalkan perkara haram dan dosa bersungguh-sungguh, kerana ia boleh menghalang doa dan menyekat rezeki kita.

Akhir sekali mari kita renungi sabda Nabi s.a.w ini:


مَنْ أَخَذَ أَمْوَالَ النَّاسِ يُرِيدُ أَدَاءَهَا أَدَّى اللَّهُ عَنْهُ وَمَنْ أَخَذَ يُرِيدُ إِتْلَافَهَا أَتْلَفَهُ اللَّهُ

"Siapa yang mengambil harta manusia (berhutang) dengan niat akan membayarnya maka Allah akan (membantu usahanya) untuk membayarnya, sebaliknya siapa yang mengambilnya dengan maksud merosakkannya (tidak mahu membayarnya) maka Allah akan mengazab orang itu". (Riwayat al-Bukhari, no. 2212)

Hadis ini memberikan semangat buat orang yang berhutang dengan niat mahu membayarnya, bahawa Allah akan membantunya untuk melangsaikan hutang tersebut. Sedangkan orang yang berniat tidak mahu membayarnya, hidupnya akan disusahkan oleh Allah, sama ada di dunia dan di akhirat.

Dengan mengamalkan 10 langkah ini, dengan izin Allah, hidup kita akan tenang, walaupun berhutang, sehinggalah kita berjaya melangsaikan kesemua hutang kita.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Anda mempunyai pendapat, pandangan dan pengalaman berkenaan topik yang dituliskan di atas? Tuliskan di bawah dan kongsikan bersama kami.