Klik LIKE untuk dapatkan kemas kini melalui Facebook anda.

Menyalurkan informasi untuk orang makan gaji dan orang bisnes untuk lebih berjaya dalam kerjaya, kewangan dan bisnes dengan cara patuh syariah.

MENGESAN KEBOCORAN WANG.



Situasi Pertengahan Bulan.

Sudah pertengahan bulan. Selesai menjamu selera di sebuah restoran berhampiran tempat kerja, kita pergi ke kaunter untuk membayar harga juadah yang telah kita nikmati. Bila buka sahaja dompet, raut wajah kita berubah mendadak, rupanya dalam dompet cuma ada beberapa keping wang warna hijau!

"Eh! Mana perginya wang yang banyak? Apa yang saya sudah beli sampai tinggal sikit begini?" Baru kita sedar, dompet kita yang dahulu tebal sudah makin nipis.

Dalam situasi lagi, kita pergi ke mesin ATM, dan menggaru-garu kepala bila lihat rekod di skrin tidak lebih daripada RM100. Ke mana perginya wang yang banyak? Apa yang sudah dibeli?

Jejaki Perbelanjaan Anda.

Saya percaya, tidak sedikit daripada kita pernah mengalami situasi tersebut. Tertanya-tanya ke mana kita telah belanjakan wang kita, dan di mana kebocoran yang berlaku.

Pada kali ini, saya ingin berkongsi dengan anda satu cara mudah bagaimana untuk mengenal pasti kebocorang wang yang diamalkan orang berjaya.

Cara yang saya maksudkan ini adalah merekod perbelanjaan atau wang yang keluar daripada poket kita. Untuk melakukannya, kita cuma perlu sediakan pen dan buku tulis sahaja, atau kita juga boleh gunakan mana-mana perisian seperti Microsoft Excel dan aplikasi kewangan yang boleh diinstall  dalam telefon pintar kita – saya gunakan Microsoft Excel dan buku nota sahaja.


 
Apabila kita membeli atau membayar sesuatu yang mengeluarkan wang daripada poket kita, kita perlu rekodkan dalam buku tersebut. Walau cuma 20 sen sekalipun, ia perlu juga untuk kita rekod! Antara yang perlu ada dalam rekod tersebut adalah nama barangan yang dibeli (Contoh: nasi ayam, tisu, bayaran tempat letak kereta), tarikh dan nilai wang yang keluar.

Setiap malam, sebelum tidur, kita lihat semua rekod perbelanjaan kita dan bandingkan dengan jumlah wang perbelanjaan yang tinggal dalam poket kita untuk hari seterusnya.

Nampak leceh? Ya. Mungkin. Tetapi percayalah, ia cara yang berkesan untuk mengenal pasti kebocoran wang kita.

Pada awal usaha saya belajar mengurus kewangan, saya telah mempratikkan cara merekod kewangan ini, dan ia telah mengejutkan saya tentang cara saya berbelanja, seterusnya menyedarkan betapa tenatnya situasi kewangan saya.

Tidak sampai pertengahan bulan, saya telah menghabiskan lebih 50 peratus daripada wang gaji yang diperolehi. Semenjak daripada itu, saya terus mengubah cara saya berbelanja. Alhamdulillah, kini saya hanya menggunakan 30-50 peratus wang gaji untuk perbelanjaan setiap bulan.

Apabila tiba hujung bulan nanti, kita boleh buka semula rekod masuk dan keluar kewangan kita untuk dianalisis.

Antara kepentingan merekod perbelanjaan yang disebutkan di atas ini adalah:
  1. Kita akan lebih peka dengan berapa jumlah wang yang berada dalam tangan kita untuk dibelanjakan.
  2. Jika terdapat kebocoran dalam perbelanjaan, kita akan dapat mengesannya lebih awal dan memperbaikinya kebocoran tersebut pada masa akan datang.
  3. Rekod perbelanjaan tersebut boleh mencerminkan kepada kita tentang sikap sebenar diri kita dalam menguruskan kewangan, untuk diperbaiki. Adakah baik atau sebaliknya.
  4. Kita akan berfikir dengan lebih baik sebelum berbelanja, seterusnya memperbaiki cara kita mengurus perbelanjaan.
Jika kita tidak berusaha untuk mengubah keadaan kewangan kita, maka tiada lagi orang lain boleh melakukannya untuk kita.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Anda mempunyai pendapat, pandangan dan pengalaman berkenaan topik yang dituliskan di atas? Tuliskan di bawah dan kongsikan bersama kami.