Klik LIKE untuk dapatkan kemas kini melalui Facebook anda.

Menyalurkan informasi untuk orang makan gaji dan orang bisnes untuk lebih berjaya dalam kerjaya, kewangan dan bisnes dengan cara patuh syariah.

BAGAIMANA MEMAHAMI PENGGUNA DAN JANA KEUNTUNGAN?



Memahami Pengguna, Kekuatan Bisnes.

Tiada bisnes yang boleh berjaya tanpa berusaha memahami apa yang sebenarnya dimahukan oleh pengguna. Menurut Nassrul Hakim Md. Jamil, pengarang buku 9 Naga Pemasaran, memahami pengguna adalah salah satu daripada kekuatan bagi sesebuah bisnes dalam pemasaran.

Menjual produk dan servis tanpa mengetahui, apakah pengguna menghendakinya atau tidak adalah satu perbuatan yang amat berisiko dan antara 'potensi' untuk sesebuah bisnes bakal gulung tikar, sebaik sahaja ia mula beroperasi pada hari pertama.

Sesiapa yang dapat memahami, meramal dan menerobos apa yang berada dalam minda pengguna, maka dia akan berpeluang untuk menjana pendapatan lumayan. Tidak sedikit daripada usahawan yang baru melakukan kesilapan ini, termasuk saya sendiri pernah terjatuh dalam kesilapan ini.

Siapa Pengguna Sasaran Anda?

Sebelum memahami apa yang berada dalam minda pengguna sasaran anda, terlebih dahulu anda perlu mengenali demografik pengguna yang menjadi sasaran anda. Tetapkan dan kenali pasaran anda; umur, tempat tinggal, status, di mana mereka biasa berkumpul dan beberapa perkara asas yang membuatkan anda mampu mencapai mereka.

“Kenali pelanggan, kuasai perniagaan!”

Demikian perkongsian Aqif Azizan, Co-Founder, Write to Wealth, juga seorang Copywriter muda yang berpengaruh, melalui status Facebook beliau baru-baru ini.

Menurut pengarang ebook Rahsia Mudah RM1000 dengan Menulis ini lagi, mengenali siapa pelanggan yang disasarkan adalah amat penting. Soalan untuk mengenali siapa pelanggan sesebuah bisnes adalah ‘soalan harta karun’ yang amat penting dijawab sebelum memulakan sesebuah bisnes.

Beliau menyatakan juga, tanpa mengenali pelanggan, risiko untuk leburnya wang tanpa mendapat pulangan keuntungan adalah amat tinggi.

Bagaimana Memahami Pengguna Untuk Jana Keuntungan?

Berikut adalah 3 perkara yang anda boleh lakukan untuk memahami pengguna yang anda sasarankan untuk menjadi pelanggan anda:

     # 1. Bertanya Secara Langsung.

Dengan mengetahui di mana pengguna anda selalu berkumpul anda boleh bertanya terus kepada mereka melalui soal-selidik atau perbualan biasa, apa yang mereka mahu dan perlu.

       a. Soal-selidik.

Bagi soal-selidik, biasanya tidak mudah untuk pengguna memberikan kerjasama untuk menjawabnya. Cara terbaik adalah dengan mewujudkan situasi menang-menang antara anda dan pengguna; sesiapa yang menjawab soalan anda, berikan sesuatu kepada mereka. 


Jika anda bertanya kepada pengguna-pengguna di FB, mungkin anda boleh tawarkan ebook percuma untuk mereka atau buat cabutan bertuah. Dengan itu, pengguna akan rasa berbaloi menjawab soalan anda.

       b. Bergaul dan Berbual.

Biasanya apabila seseorang bertemu dengan orang lain, maka mereka akan berbual tentang apa yang mereka minat, mahu dan suka. Justeru, cuba ikuti apakah perkara yang biasa dan kerap dibualkan oleh pengguna sasaran anda apabila berjumpa dengan kalangan mereka?

Selain berbual tentang minat, selalunya mereka juga akan berbual tentang perkara yang mereka tidak suka dan masalah mungkin dihadapi. Dengan mengetahui masalah yang dihadapi oleh mereka, anda boleh mencari jalan dan menawarkan penyelesaian. Itu adalah peluang menjana pendapatan.

Bergaul dan dekatkan diri anda dengan pengguna. Jalin hubungan baik dengan mereka.

     # 2. Perhatikan Siapa Mereka.

Cara hidup boleh menggambarkan minda dan cara berfikir seseorang. Ia boleh memberikan gambaran awal tentang apa sebenarnya yang dimahukan dan diperlukan oleh seseorang. Berpandukan demografik, cuba fahami pengguna sasaran anda.

Sekiranya anda menetapkan pengguna sasaran anda daripada kalangan pelajar IPT, dan anda merancang membuka bisnes berdekatan dengan tempat kediaman mereka, maka anda lihat apa yang selalu pelajar universiti pakai, makan dan gunakan dalam kehidupan seharian.


Mungkin anda boleh buka kedai photocopy, atau gadjet-gadjet yang mereka perlukan? Atau mungkin juga anda boleh buat bisnes sewa kenderaan untuk mereka?

Andaikan pula anda hidup di kampung dan anda perhatikan penduduk kampung selalu menghadapi masalah mendapatkan barangan keperluan disebabkan lokasi yang jauh daripada bandar. Mungkin anda boleh membuka bisnes kedai runcit yang dapat memenuhi keperluan dan kemahuan mereka.

Selain itu, anda juga boleh merujuk buku atau majalah yang biasa dibaca oleh kelompok pengguna sasaran anda. Lihat apakah iklan produk dan perkhidmatan yang terdapat dalam majalah berkenaan. Ia dapat memberi isyarat awal, produk dan servis bagaimana sebenarnya yang mereka mahukan.

     # 3. Bayangkan dan Rasa.

Jika anda adalah pengguna yang disasarkan apakah agaknya yang anda mahu dalam hidup anda? Apakah perkara atau benda yang anda perlu, yang anda tidak suka dan masalah yang biasa anda hadapi? Gunakan kaedah empathi dan jangka perkara yang mungkin pengguna sasaran anda mahu, mengapa mereka mahukannya, dan bila mereka mahukannya.

Peniaga Bijak, Menjangka Masa Hadapan.

Peniaga yang bijak adalah peniaga yang berfikiran jauh kehadapan. Dia tidak hanya memerhati perkara yang berlaku sekarang, tetapi juga apa yang mungkin bakal terjadi pada masa akan datang.

Andaikan pada waktu ini ramai pemuda dan pemudi yang masih bujang begitu mengambil berat tentang agama. Anda boleh membuat jangkaan, mungkin dalam beberapa waktu akan datang permintaan untuk produk atau servis yang berkonsepkan Islam untuk kanak-kanak akan semakin meningkat.

Justeru, mulai sekarang anda boleh membuat perancangan awal untuk membina hubungan baik dengan mereka dan merancang bagaimana untuk anda memenuhi permintaan yang akan datang itu apabila tiba waktunya.

Memahami pengguna adalah antara kunci kejayaan bisnes. Tanpa memahami apa yang pengguna perlu dan mahu, tiada bisnes yang boleh kekal lama.

(Sumber gambar: spoutloudthebeeswikimedia )   



Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Anda mempunyai pendapat, pandangan dan pengalaman berkenaan topik yang dituliskan di atas? Tuliskan di bawah dan kongsikan bersama kami.