Klik LIKE untuk dapatkan kemas kini melalui Facebook anda.

Menyalurkan informasi untuk orang makan gaji dan orang bisnes untuk lebih berjaya dalam kerjaya, kewangan dan bisnes dengan cara patuh syariah.

NIAT DISEBALIK PERNIAGAAN.

Menjalankan perniagaan sendiri adalah impian setiap orang yang mahu menjadikan perniagaan sebagai sumber pendapatan utama. Impian yang sudah pastinya ditanam sejak sekian lama.

Namun, disebalik menjalankan perniagaan, adakah kita tahu apa sebenarnya yang kita mahukan dari perniagaan tersebut? Adakah kita tahu apa yang kita akan dapatkan dari perniagaan yang kita jalankan?



Perniagaan adalah salah satu sunnah Rasulullah s.a.w. Apabila kita melakukannya, bermakna kita sudah pun mengikut apa yang dilakukan oleh baginda semasa baginda hidup dahulu.

Perniagaan Sebagai Perjuangan.

Menjalankan perniagaan juga adalah satu dari perjuangan yang perlu dipikul oleh umat Islam. Kerana jihad ekonomi adalah satu jihad yang mulia. Apabila ramai umat Islam yang menjalankan perniagaan, ekonomi ummah akan bertambah maju dan memudahkan makanan atau produk-produk yang halal dan patuh syariah dapat digunakan oleh umat Islam yang lain.

Justeru, adalah perlu kita melihat kembali apakah niat semasa kita memulakan perniagaan dahulu. Niat yang kita tanamkan dalam hati dan minda kita semasa mahu memulakan perniagaan. Allah s.w.t sangat pemurah. Allah s.w.t telah mengatakan, Dia akan mengikut apa yang kita mahukan, apa yang kita pohonkan. Apa sahaja yang kita minta akan diberikan, oleh Allah s.w.t.

Niat dalam perniagaan menentukan pulangan bagaimanakah yang kita mahukan dari perniagaan tersebut.

Adakah kita mahu pulangan dalam bentuk wang ringgit supaya kita menjadi kaya wang dan kaya harta? Atau kita mahukan pulangan yang lebih lagi, iaitu kaya wang, kaya harta dan mendapat kekayaan di akhirat nanti?

Semuanya bergantung kepada apa yang kita minta dan doakan.


Niat Membuahkan Hasil.

Jika niat kita semasa memulakan perniagaan sudah tidak baik, sebagai contoh, mahu membuka perniagaan kerana mahu menyebarkan produk dan makanan yang tidak patuh syariah kepada orang ramai, maka balasan yang buruk juga akan diterima kita.

Jika niat perniagaan kita adalah untuk membantu menaikkan ekonomi dan memberikan pilihan alternatif kepada lambakan produk dan makanan yang tidak patuh syariah di pasaran, sudah pasti jalan yang luas akan terbuka dan balasan yang baik juga untuk kita semua.

Sudah pasti anda mahukan balasan yang baik dalam menjalankan perniagaan. Saya percaya, sudah menjadi impian setiap usahawan agar segala titik peluhnya dalam dunia perniagaan mendapat keberkatan dan segala pendapatannya adalah pendapatan yang berkat.

Niatlah sesuatu yang baik-baik dalam menjalankan perniagaan. Jihad ekonomi sebagai satu tarbiah yang mendorong diri kita melakukan sesuatu yang baik dan berguna kepada setiap masyarakat dan umat Islam. 


Wallahu’alam.

Artikel ini ditulis oleh :

Shah Othman. Seorang usahawan, trainer dan penulis yang bergiat aktif dalam melahirkan ramai usahawan baru. Beliau telah menghasilkan buku-buku berkaitan perniagaan dan pemasaran, antaranya adalah Bongkar Gaya Jutawan Islam dan Bongkar Kuasa "P" Dalam Bisnes.

Layari laman Facebook beliau di Shah Othman dan Success Mind Training.


( Sumber gambar: mustread, facebook, nazlibintiabbas )

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Anda mempunyai pendapat, pandangan dan pengalaman berkenaan topik yang dituliskan di atas? Tuliskan di bawah dan kongsikan bersama kami.