Klik LIKE untuk dapatkan kemas kini melalui Facebook anda.

Menyalurkan informasi untuk orang makan gaji dan orang bisnes untuk lebih berjaya dalam kerjaya, kewangan dan bisnes dengan cara patuh syariah.

APA ITU PELABURAN?


 
Sering kali kita dengar perkataan ‘pelaburan’ apabila bicara tentang bisnes dan kewangan. Apabila ditanya erti ‘pelaburan’ tidak sedikit juga yang garu kepala dan ragu-ragu untuk menjelaskannya.

Sebenarnya perkataan ‘pelaburan’ membawa beberapa pengertian yang berbeza. Di sini saya akan berusaha menjelaskan kepada anda, apa itu ‘pelaburan’ daripada sudut Islam, kewangan dan ekonomi.

Pelaburan Daripada Sudut Ekonomi & Kewangan.

Menurut laman web pelaburan, Insvestopedia, pelaburan adalah satu usaha membeli aset atau item dengan harapan ia akan menjana pendapatan atau meningkat nilainya pada masa hadapan.

Misalnya, pelaburan hartanah; orang membeli rumah kemudian menyewakannya untuk menjana pendapatan setiap bulan. Dalam masa yang sama, pembeli mengharapkan dan berusaha meningkatkat nilai rumah yang dibelinya, agar ia dapat dijual dengan harga lebih tinggi pada masa akan datang.

Begitu juga dalam menuntut ilmu, ia dinamakan ‘pelaburan ilmu’ kerana kita pergi ke sekolah, kursus dan seminar atau membeli buku untuk ‘membeli’ ilmu dengan harapan ia akan menjana keuntungan dan pulangan kepada kita di kemudian hari.

Pelaburan Daripada Sudut Islam.

Dalam Fiqh al-Manhaji `Ala Mazhab al-Imam asy-Syafi`e, jilid 7, dinyatakan pelaburan berasal daripada perkataan al-Mudharabah atau al-Qiradh. 


Pelaburan menurut Islam adalah merujuk kepada perbuatan seseorang menyerahkan hartanya kepada seseorang yang lain untuk diusahakan. Keuntungan yang diperolehi daripada urusniaga tersebut pula dikongsi oleh pelabur dan pengusaha.

Pelaburan mempunyai hukum, rukun dan syarat yang tertentu dalam ilmu Fikah Muamalat. Ia dijelaskan lebih 15 halaman dalam kitab Fiqh al-Manhaji `Ala Mazhab al-Imam asy-Syafi`e. Jika berkesempatan, dengan izin Allah saya akan menjelaskan rukun dan syarat-syarat tersebut pada perkongsian akan datang.

Tujuan Pelaburan dan Manfaatnya.

Pelaburan adalah satu jalan untuk menambah dan menjana pendapatan. Dengan melabur, ada orang yang mendapat pulangan keuntungan dalam jangka masa pendek dan ada juga yang mendapat pulangan jangka masa yang panjang. Ia bergantung kepada jenis pelaburan yang dipilih oleh seseorang.

Misalnya, pelaburan dalam emas dan perak hanya sesuai untuk pelaburan jangka panjang. Manakala, dengan pelaburan saham dan hartanah pula anda berpeluang untuk menjana pendapatan dalam waktu tidak begitu lama.


Contoh tempat anda boleh meletakkan wang anda untuk tujuan pelaburan:

          •   Emas.
          •   Perak.
          •   Bon.
          •   Hartanah.
          •   Saham.
          •   Bisnes.

Selain yang disebutkan di atas, terdapat juga bank yang menyediakan akaun pelaburan. Anda simpan wang anda dalam akaun pelaburan di bank tertentu, kemudian pihak bank akan menguruskan wang itu untuk digunakan atau disalurkan pada aktiviti yang boleh menjana pulangan lumayan, sesuai dengan pilihan anda.

Perlu diingatkan, tidak semua pelaburan adalah patuh syariah dan halal. Ada pelaburan yang diharamkan oleh syarak. Misalnya melabur dalam Forex dan akaun pelaburan emas; pemilik tidak mendapat emas fizikal, sebaliknya hanya sijil dan catatan dalam akaun.

Jika anda berhasrat untuk mencapai kestabilan kewangan dan kebebasan kewangan, pelaburan merupakan satu jalan wajib anda tempuhi. Ia membolehkan anda menjana pendapatan tanpa perlu bekerja keras.

Dengan pelaburan yang betul, anda tidak perlu bekerja keras untuk wang, sebaliknya wang yang bekerja keras untuk mengkayakan anda.



(Sumber gambar: treehugger, pelaburhebat, wikipedia)




Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Anda mempunyai pendapat, pandangan dan pengalaman berkenaan topik yang dituliskan di atas? Tuliskan di bawah dan kongsikan bersama kami.