Klik LIKE untuk dapatkan kemas kini melalui Facebook anda.

Menyalurkan informasi untuk orang makan gaji dan orang bisnes untuk lebih berjaya dalam kerjaya, kewangan dan bisnes dengan cara patuh syariah.

3 DINDING MENGHALANG PERUBAHAN.


 
Hidup Ini Umpama Air.

Untuk menjadi lebih berjaya kita perlu melakukan perubahan. Ingin mendapatkan sesuatu yang tidak pernah kita miliki, maka kita perlu melakukan sesuatu yang tidak pernah kita lakukan.

Perubahan adalah kunci kejayaan. Perhatikan sifat air. Jika air semula jadi bertakung dalam satu kawasan, tidak lama ia akan menjadi busuk dan mungkin dikunjungi nyamuk untuk membiakkan telurnya.

Namun, apabila ia selalu mengalir dengan lancar ia akan menjadi jernih dan nyamuk tidak akan berpeluang untuk membiak dalam air tersebut.

Demikian jua manusia, apabila kita tidak berusaha berubah menjadi lebih baik, maka kita akan mundur tanpa sedar. Tanpa mengubah apa yang sedia ada pada diri kita, perkara yang akan kita capai pada esok hari adalah serupa dengan perkara yang telah kita capai hari ini.

Setiap daripada kita pasti mempunyai hasrat untuk mengubah sesuatu dalam hidup kita. Dalam hati ada hasrat untuk berubah, matlamat telah ditetapkan, tetapi entah mengapa, apabila tiba hari esok kita masih sama. Tiada perubahan. Mengapa?



3 Dinding Menghalang Perubahan.

Terdapat 3 dinding utama yang dikenal pasti menyebabkan seseorang enggan atau malas untuk melakukan perubahan kepada dirinya.

     1. Keraguan.

Ragu terhadap matlamat atau kemampuan diri untuk berubah. Sebagai contoh, orang yang mahu berhenti merokok kerana tahu bahawa rokok itu memudaratkan kesihatan. Tetapi dia masih tidak mengubah tabiatnya kerana ragu-ragu dan kurang yakin untuk berubah.

Tergambar dalam fikirannya, bahawa dirinya mungkin hanya akan dapat berhenti merokok beberapa hari, kemudian dia akan kembali kepada tabiat lama. Untuk berubah, kita perlu ada keyakinan. Dapatkan sokongan daripada orang lain yang berada disekeliling kita, dan mohon daripada Allah ta'ala.

     2. Ketakutan.

Sifat takut adalah penting, kerana ia boleh melindungi diri kita daripada sebarang bahaya dan perkara yang memudaratkan. Walau bagaimanapun, jika sifat takut tidak dikawal dengan sebaiknya ia boleh memusnahkan hidup kita dan menjadikan kita orang yang gagal.

Contoh ketakutan yang menyebabkan manusia tidak berubah adalah takut kepada kegagalan dan takut kepada kritikan orang lain.

Orang yang berjaya sebenarnya bukanlah orang yang tidak takut. Meraka juga ada ketakutan, tetapi mereka tidak membenarkan ketakutan ini menguasai mereka dan menghalang mereka untuk berjaya. Untuk berubah dan berjaya, perlu ada sifat berani dalam diri.

     3. Keselesaan. 

Hidup dalam keselesaan membuatkan manusia leka tentang kekurangan dan kelemahan yang ada. Hidup dalam zon selesa membuatkan manusia lalai dan tidak berusaha untuk berubah, kerana berasa cukup selesa dengan apa yang ada.

Jika kita berjaya melepasi ketiga-tiga perkara ini, dengan izin Allah, kita pasti akan berjaya melakukan dalam hidup untuk lebih berjaya dalam mencapai apa yang kita inginkan.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Anda mempunyai pendapat, pandangan dan pengalaman berkenaan topik yang dituliskan di atas? Tuliskan di bawah dan kongsikan bersama kami.