Klik LIKE untuk dapatkan kemas kini melalui Facebook anda.

Menyalurkan informasi untuk orang makan gaji dan orang bisnes untuk lebih berjaya dalam kerjaya, kewangan dan bisnes dengan cara patuh syariah.

AKIBAT HARTA HARAM KEPADA KITA.

 
Dua Jalan Rezeki.

Allah s.w.t telah menetapkan rezeki bagi setiap manusia. Dia memberikan dua jalan kepada manusia untuk mendapatkan rezeki tersebut; jalan halal dan jalan haram, dengan berpandukan akal yang sihat, manusia dikehendaki memilih antara dua jalan tersebut.

Jalan halal membawa kejayaan di dunia dan akhirat. Harta halal yang diperolehi membuahkan keberkatan, kebaikan serta menghampirkan diri kepada Allah s.w.t. Sedangkan, jalan haram hanya membawa kebaikan di dunia (mungkin), tetapi ia bakal memberikan azab kepada pemiliknya. Tiada keberkatan pada harta yang terhasil daripada jalan yang haram.

Apa Kata Nabi s.a.w?

     # 1 - Penghalang Masuk Syurga.

Pernah Nabi s.a.w bersabda kepada Ka`ab:
“Sesungguhnya tidak akan masuk Syurga daging yang tumbuh daripada makanan yang haram.” (Darjatnya Shahih Lighairihi, Shahih at-Targhib wa at-Tarhib, no. 1728)
Ertinya orang yang daging tubuhnya berasal daripada makanan yang haram, maka dia tidak akan masuk Syurga. Ada yang mendengar hadis ini cuba memberikan helah dengan berkata,
“Saya tidak gunakan duit judi yang saya menang untuk makan dan minum. Duit ini saya hanya untuk beli benda seperti pakaian, kereta dan lain-lain. Jadi, badan saya tidak akan diresapi makanan dan minuman yang haram."


     # 2 - Penghalang Terkabulnya Doa.

Untuk orang yang berkata sedemikian, renungkan sabda Nabi s.a.w yang berikut:
“Sesungguhnya Allah ta'ala itu baik, Dia tidak akan menerima melainkan yang baik sahaja. Sesungguhnya Allah telah memerintahkan kaum Mukminin sama sebagaimana Dia memerintahkan para rasul.

Allah berfirman: “Wahai para Rasul, makanlah dari yang baik-baik dan kerjakanlah amalan yang saleh.” Dan Allah berfirman lagi: “Wahai orang-orang yang beriman, makanlah dari makanan yang baik yang Kami berikan kepada kamu.”

Setelah itu, Rasulullah s.a.w mengisahkan tentang seorang lelaki yang telah berlayar jauh. Rambutnya kusut, berdebu, mengangkat kedua belah tapak tangannya ke langit serta memohon: “Ya Tuhanku! Ya Tuhanku!” Sedangkan makanannya dari yang haram, minumannya dari yang haram dan pakaiannya dari yang haram, dan dia telah dikenyangkan dari sumber yang haram. Alangkah jauhnya dia (doanya) untuk dikabulkan.” (Riwayat Muslim, Arbain an-Nawawiyyah, no. 10)   
Dalam hadis di atas, bukan setakat makanan dan minuman yang haram penghalang daripada terkabulnya doa, tetapi ia termasuk juga pakaian. Pakaian boleh kita kiaskan dengan kegunaan-kegunaan lain seperti kenderaan, rumah dan peralatan lain.

Niat Baik Tidak Menghalalkan Cara.

Islam mengajarkan, niat yang baik tidak boleh menjadi alasan mendapatkan harta dengan jalan yang diharamkan. Misalnya, mencuri dengan tujuan untuk bersedeqah kepada orang yang kesusahan atau berjudi untuk mendapatkan wang untuk menunaikan haji dan umrah.


Sesungguhnya Allah s.w.t itu baik dan Dia tidak akan menerima ibadah melainkan sumbernya daripada perkara yang baik jua. Ibadah yang dilakukan dengan harta yang haram tidak ada nilainya di sisi Allah s.w.t, selagi seseorang itu tidak bertaubat dengan cara yang sewajarnya.

Saya tinggalkan anda dengan maksud firman Allah s.w.t yang berikut:
“Makanlah daripada rezeki yang baik-baik yang Kami berikan kepada kamu dan bersyukurlah kepada Allah.” (Surah al-Baqarah: 172)
Semoga penulisan ini memberi manfaat buat anda. Silakan untuk berkongsi bersama rakan-rakan anda.


(Sumber gambar: mialianainsyirahazhar)


2 ulasan:

  1. Sememangnya mencari rezeki yang halal juga penting untuk mendapat keberkatan yang berpanjangan.
    Blog Reader's Paradise

    BalasPadam
    Balasan
    1. Benar, tuan. Rezeki yang berkat itu penting.

      Rezeki sedikit, tetapi berkat lebih baik daripada rezeki yang banyak, tetapi tidak berkat.

      Rezeki yang banyak dan berkat itu lebih baik.

      Rezeki yang membantu kita menjejak kaki ke Syurga. Rezeki tidak berkat membuat kita tercampak ke dalam Neraka.

      Padam

Anda mempunyai pendapat, pandangan dan pengalaman berkenaan topik yang dituliskan di atas? Tuliskan di bawah dan kongsikan bersama kami.