Klik LIKE untuk dapatkan kemas kini melalui Facebook anda.

Menyalurkan informasi untuk orang makan gaji dan orang bisnes untuk lebih berjaya dalam kerjaya, kewangan dan bisnes dengan cara patuh syariah.

BISNES DAN REZEKI.



“Sesungguhnya Allah s.w.t memberi rezeki kepada sesiapa yang dikehendakiNya dengan tidak terhitung jumlahnya.” – Surah Ali Imran, ayat 37.


Setiap orang telah ditentukan rezekinya bagaimana. Ia telah tertulis sejak azali lagi. Yang membezakan hanyalah sikit atau banyak rezeki yang akan diperoleh oleh seseorang.

Rezeki bukan sahaja dalam bentuk wang ringgit atau harta yang kita miliki. Ia juga boleh datang dalam bentuk makanan atau apa yang kita guna seharian dalam kehidupan kita. Kerana, apa-apa yang dapat kita nikmati, itu adalah rezeki.

Jadi, dalam perniagaan yang dijalankan, rezeki bukan sahaja diukur dalam bentuk banyaknya wang ringgit yang masuk ke dalam akaun syarikat setiap hari. Ia juga adakalanya masuk ke syarikat dalam bentuk lain, seperti penambahan cawangan, pembesaran premis, jumlah jualan produk bertambah kuantitinya.

Proses pengumpulan harta dan kekayaan adalah proses biasa bagi seorang usahawan. Tiada seorang pun usahawan yang melakukan perniagaan tidak mahukan keuntungan dalam perniagaan. Keuntungan adalah kunci utama supaya perniagaan itu dapat berkembang dengan baik.

Tanpa keuntungan, syarikat yang anda bangunkan tidak dapat bertahan. Malah, jika ada sekalipun, ia menjadi seperti hidup segan mati tidak mahu.

Sebagai seorang usahawan Muslim, sudah menjadi tanggungjawab kita untuk terus-terusan mencari rezeki dan kongsikan sebahagian rezeki yang diperolehi dengan orang lain. Perkongsian itu boleh menjadi dengan ahli keluarga anda, para pekerja, atau ahli masyarakat di kawasan anda.

Rezeki adalah milik kita sekiranya kita dapat merasa nikmat darinya. Iaitu sesuatu yang dapat kita gunakan atau makan juga adalah nikmat dari rezeki tersebut. Jika rezeki yang tidak dapat kita nikmati, ia bukanlah rezeki kita. Ia berkemungkinan menjadi rezeki insan lain.

Sebagai contoh, anda mendapat hasil jualan yang tinggi pada bulan ini. Tetapi 80% dari hasil jualan itu tidak berada dengan anda. Wang yang masuk ke dalam akaun anda terpaksa dikeluarkan semula untuk digunakan pada pembelian produk baru, membayar gaji staf termasuk bonus, membayar cukai kerajaan dan pelbagai lagi. Ini bermakna rezeki yang datang kepada anda tersebut bukanlah menjadi hak anda. Anda hanya sebagai pemegang amanah.

Justeru, sebagai seorang usahawan, sudah menjadi tanggungjawab kita memegang amanah yang dipertanggungjawabkan kepada kita sebagai Muslim. Bersedekah, berzakat dan membantu sesama Muslim yang lain adalah salah satu jalan untuk anda menyerahkan kembali amanah Allah itu kepada yang berhak.

Sebagai usahawan, kita perlu berusaha lebih gigih supaya lebih banyak rezeki yang masuk kepada kita merupakan rezeki yang dapat kita nikmati, Insya' Allah.

Semoga kita sukses selalu.

Wallahu a`lam.

Artikel ini ditulis oleh :

Shah Othman. Seorang usahawan, trainer dan penulis yang bergiat aktif dalam melahirkan ramai usahawan baru. Beliau telah menghasilkan buku-buku berkaitan perniagaan dan pemasaran, antaranya adalah Bongkar Gaya Jutawan Islam dan Bongkar Kuasa "P" Dalam Bisnes.

Layari laman Facebook beliau di Shah Othman dan Success Mind Training.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Anda mempunyai pendapat, pandangan dan pengalaman berkenaan topik yang dituliskan di atas? Tuliskan di bawah dan kongsikan bersama kami.