Klik LIKE untuk dapatkan kemas kini melalui Facebook anda.

Menyalurkan informasi untuk orang makan gaji dan orang bisnes untuk lebih berjaya dalam kerjaya, kewangan dan bisnes dengan cara patuh syariah.

7 SIFAT RAKAN KONGSI BISNES YANG MENJADI ‘PARASIT’.



Memilih rakan bisnes yang betul adalah satu langkah wajib sekiranya kita mahu berjaya dalam bisnes rakan kongsi. Seperti mana pokok strawberi tidak akan mampu tumbuh dan dihidup di gurun, begitu jugalah nasib bisnes kita. Ia tidak akan bangun, dengan orang negatif menjadi asas tapaknya.

Pemilihan rakan kongsi bisnes yang betul akan memberikan kesan yang besar untuk kita membina bisnes kita. Sebaliknya, bisnes bersama rakan kongsi kita tidak akan berjaya, sekiranya kita tersalah memilih orang untuk bekerjsama.

Nabi Muhammad s.a.w pernah bersabda dalam sebuah hadis:

“Perumpamaan teman yang baik dan buruk adalah seumpama penjual minyak wangi dan tukang besi. Adapun penjual minyak wangi, sama ada dia akan menghadiahkan kamu wangiannya atau kamu akan membeli darinya atau kamu akan mendapat bau harum daripadanya. Sedangkan tukang besi, sama ada dia akan membuatkan pakaianmu terbakar, atau kamu akan mendapat bau yang busuk daripadanya.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Rakan kongsi bisnes yang tidak baik adalah seumpama parasit yang menumpang pada hidupan lain. Tidak membawa kebaikan, malah memudaratkan. Ia hanya memikirkan cara untuk menguntungkan dirinya sahaja.

Di sini, saya kongsikan bersama anda 7 sifat rakan kongsi bisnes yang menjadi parasit dan memusnahkan bisnes kita bersamanya.



     # 1 – Suka Berbohong dan Berdusta.

Selain jujur terhadap pelanggan, kejujuran terhadap rakan kongsi bisnes juga adalah perkara yang amat penting. Orang yang suka berbohong dan berdusta tidak layak untuk dijadikan rakan kongsi bisnes. Menjadikan mereka sebagai rakan kongsi bisnes hanya akan mendatangkan kerugian kepada kita dikemudian hari.

     # 2 – Pecah Amanah.

Rakan kongsi bisnes yang baik mestilah seorang yang dipercayai dan amanah. Sebaliknya orang yang tidak amanah dan tidak boleh dipercayai rakan kongsi bisnes yang merugikan. Ini kerana, apabial dia diamanahkan untuk perkara dan tugas, maka dia tidak akan melaksanakan amanah tersebut dengan telus dan betul.

Seandainya ada rahsia atau masalah antara kita dengan dirinya, pasti masalah itu akan disebarkannya kepada mereka orang lain yang tidak sepatutnya.

     # 3 – Mengajak Kepada Keburukan.

Selalu mengajak untuk melakukan perkara-perkara buruk dan dibenci oleh agama. Lebih mementingkan dunia berbanding akhirat, tanpa memikirkan halal dan berkat dalam melakukan bisnes.

Ajakan melakukan keburukan itu boleh jadi secara langsung atau tidak. Misalnya, mengajak untuk bermesyuarat sehingga terluput waktu solat fardhu atau mengajak menganjurkan program atau menjual produk yang dibenci oleh agama.

     # 4 – Tidak Menepati Masa.

Masa adalah modal yang penting dalam hidup. Orang yang tidak menepati masa adalah ‘perompak’ kehidupan orang lain. Bayangkan, kita berjanji dengan rakan kongsi bisnes pada jam 9 malam, kemudian setengah jam kemudian barulah kita nampak batang hidungnya.

Berjanji untuk bertemu pada waktu yang tertentu, tetapi hanya hadir selepas orang lain sudah lama menunggu. Andai jarang lewat tidak mengapa dan mempunyai alasan, mungkin tidak mengapa tetapi apabila kelewatan dan tidak menepati masa itu menjadi tabiat sehingga menyusahkan orang lain, maka cari sahaja rakan kongsi bisnes yang lain.

     # 5 – Suka Merendah-rendahkan.

Gemar mengkritik dan merendah-rendahkan orang lain. Apabila kita cuba memberikan cadangan atau pemkebaikan, pasti ada sahaja perkara buruk yang dikritiknya. Apabila kita memberikan idea dan pandangan, dia akan memandang idea tersebut sebelah mata dan melihat bahawa pendapatnya sendiri lebih layak diikuti.

Sekiranya kita merancang sesuatu dan melihat peluang, maka dia selalu melontarkan pelbagai kritikan dan andaian negatif yang tidak berasas sehingga mematahkan semangat kita untuk melaksanakannya

     # 6 – Mementingkan Diri.

Asyik mementingkan diri dan tidak menghiraukan perasaan orang lain adalah satu daripada ciri rakan kongsi bisnes yang wajib dijauhi. Orang yang mementingkan diri hanya memikirkan keuntungan yang akan diperolehinya terlebih dahulu.

Seandainya berlaku masalah, maka dia segera menyelamatkan diri dan meninggalkan kita untuk mengurus masalah sendirian. Demikian juga, dalam pembahagian tugas, mereka hanya mahu melakukan perkara yang mudah dan ringan-ringan dan menyerahkan kepada orang lain untuk berusaha keras.

     # 7 – Malas Memperbaiki Diri.

Tiada manusia yang sempurna dan 100 peratus baik. Manusia yang baik, adalah manusia yang apabila ia melakukan kesilapan, maka ia akan membetulkanya dan membetulkan dirinya daripada ke semasa. Sedangkan manusia yang buruk adalah manusia yang kekal dalam melakukan keburukan dan berbangga dengan keburukan yang dilakukannya.

Sekiranya anda mempunyai rakan kongsi bisnes yang menepati sifat-sifat di atas, berusahalah untuk berurusan dengannya secara baik dan saling menasihati untuk kebaikan bersama. Namun, seandainya dia tidak mahu berubah keluar daripada urusniaga tersebut dengan segera adalah langkah terbaik yang perlu dilakukan. Ini kerana, semakin lama anda bersamanya, maka semakin banyak kerugian yang bakal menimpa. 





Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Anda mempunyai pendapat, pandangan dan pengalaman berkenaan topik yang dituliskan di atas? Tuliskan di bawah dan kongsikan bersama kami.