Klik LIKE untuk dapatkan kemas kini melalui Facebook anda.

Menyalurkan informasi untuk orang makan gaji dan orang bisnes untuk lebih berjaya dalam kerjaya, kewangan dan bisnes dengan cara patuh syariah.

MITOS KEPEMIMPINAN.




     # 1 - Mitos Kedudukan, “Saya tidak boleh memimpin, jika saya tidak berada di atas atau tiada kuasa!”

Pengukur sebenar kepimpinan adalah pengaruh, bukannya kedudukan yang anda miliki. Memiliki kedudukan di atas, tidak bermakna kita boleh memimpin dengan baik dan menjadi pemimpin yang disegani. Sekiranya kita memiliki pengaruh yang kuat kepada orang di sekeliling kita, meskipun tidak ada jawatan yang tinggi, kita sebenarnya adalah seorang pemimpin secara tidak langsung.

     # 2 - Mitos Destinasi, “Apabila saya sudah berada di atas, maka saya akan belajar untuk memimpin!”

Kemahiran memimpin bukannya dapat dibentuk dalam masa sehari dua. Ia dipelajari dan dibentuk dalam masa yang lama. Dahului segala perkara dengan ilmu. Usah tunggu dilantik menjadi seorang pemimpin baru mahu belajar jadi pemimpin. Mulakan daripada sekarang, saat masih dalam situasi ‘dipimpin’. Apabila kita sudah mempunyai kemahiran memimpin dan menunjukkan sifat kepimpinan, orang lain sendiri akan menolak kita ke atas untuk menjadi pemimpin.

     # 3 - Mitos Pengaruh, “Apabila saya sudah berada di atas, maka orang akan mengikuti saya!”

Yang tepatnya, tidak semua orang yang berada di atas akan ditaati dan diikuti. Sekiranya kepimpinan orang di atas adalah rendah, maka orang di bawah kemungkinan besar tidak akan taat, malah meninggalkan pemimpin tersebut. Lebih teruk, si pemimpin tadi akan digulingkan oleh orang yang di bawah untuk diganti dengan orang yang mereka lebih percaya dan layak.

     # 4 - Mitos Kebebasan, “Apabila saya berada di atas, saya akan bebas!”

Ada yang menyangka apabila sudah jadi pemimpin, maka mereka akan bebas melakukan apa yang disukai dan tiada orang akan mengawal mereka. Realitinya semakin meningkat kedudukan, maka tanggung jawab semakin bertambah. Berada di atas bukan bermakna goyang kaki sahaja. Ia memerlukan pemikiran yang banyak.

Lihat sahaja jadual para Perdana Menteri di dunia, setiap hari dipenuhi dengan pelbagai aktiviti dan program. Sebarang tindakan mereka diperhatikan. Sekiranya ada kesilapan akan dikritikan ditentang. Sebab itu, ada orang pernah berkata kepada saya, "Pemimpin sebenarnya adalah hamba rakyat!" dan bagi saya ia memang ada benarnya.

     # 5 - Mitos Dilahirkan, “Saya tidak boleh jadi pemimpin hebat, kerana ia dalah bakat dalam diri seseorang dan tidak boleh dipelajari!”

Memang benar ada pemimpin yang lahir dengan bakat semula jadi. Namun, jumlah pemimpin yang sedemikian amat sedikit. Realitinya, kebanyakan pemimpin adalah dibentuk melalui pembelajaran. Memimpin adalah kemahiran yang boleh dipelajari. Jika ia tidak boleh dipelajari, sudah tentu tiada buku-buku tentang bagaimana menjadi seorang pemimpin yang dijual di pasaran. Orang yang dipimpin, boleh menjadi pemimpin yang luar biasa jika betul jalan belajarnya.

     # 6 - Mitos Penubuhan, “Saya yang menubuhkan kumpulan ini, maka saya lebih layak untuk memimpinnya!”

Membina sebuah organisasi, tidak bermakna kita layak mengetuainya. Boleh jadi ada orang lain yang lebih layak mengetuainya kita boleh menjadi penasihat atau pemimpin tidak langsung di dalamnya. Tidak sedikit pengasas syarikat besar di luar sana, melantik orang lain untuk memimpin dan mengurus syarikat mereka.
       
Di akhir sekali, walaupun kita tidak jadi pemimpin bagi sesebuah organisasi, ilmu kepimpinan adalah amat penting. Kalau kita tidak guna ia untuk memimpin orang lain, kita masih ada diri sendiri untuk dipimpin. Justeru, belajarlah untuk memimpin. Tidak usah menunggu jadi pemimpin baru mahu belajar.

Ingin menjadi pemimpin bukanlah suatu yang tercela. Yang penting, apa niat kita menjadi pemimpin dan ke mana kita mahu memimpin orang lain, adakah ke arah kebaikan atau sebaliknya?


(Sumber Artikel & Gambar: Blog Suhili



Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Anda mempunyai pendapat, pandangan dan pengalaman berkenaan topik yang dituliskan di atas? Tuliskan di bawah dan kongsikan bersama kami.