Klik LIKE untuk dapatkan kemas kini melalui Facebook anda.

Menyalurkan informasi untuk orang makan gaji dan orang bisnes untuk lebih berjaya dalam kerjaya, kewangan dan bisnes dengan cara patuh syariah.

ISTIQAMAH DALAM BERUSAHA.




Tahun 2013 sedang beransur pergi. Bulan hadapan kita akan melangkah ke tahun 2014. Bulan ini sudah masuk bulan kelima blog NotaUsahawan.Com ini beroperasi. Beberapa hari lepas, saya maklumkan melalui Facebook saya bahawa kemas kini artikel dalam blog ini akan dikurangkan kepada 2 kemas kini sahaja setiap minggu.

Dalam artikel-artikel sebelum ini saya telah kongsikan dengan ada mengenai tip dan panduan untuk mencapai kejayaan. Daripada menetapkan matlamat sehinggalah bekerja keras sebelum kita menjadi seorang yang berjaya dan hebat.

Di sini, saya akan berkongsi dengan anda satu perkara yang menjadi kunci kejayaan. Ramai orang berjaya menetapkan matlamat, membuat perancangan dan bertindak, tetapi mereka masih tidak berjaya disebabkan tiada perkara ini.

Apakah yang saya maksudkan?



Perkara yang saya maksudkan adalah istiqamah atau konsisten dalam berusaha. Sebab saya memilih topik ini pada kali ini, kerana saya melihat diri saya sedang mengalami krisis ini. Sepertinya beberapa perancangan sudah tertunda dan kadang-kadang tersasar daripada jadual yang sepatutnya.

Justeru, saya harap dengan menulis tentang ia dapat memberi pesanan kepada saya agar istiqamah dalam berusaha.

Istiqamah dan konsisten adalah perkara yang amat penting untuk berjaya.

Ramai orang gagal mencapai apa yang mereka mahu disebabkan tidak konsisten dalam apa yang mereka usahakan. Sebulan dua mereka bertindak melaksanakan perancangan, tetapi apabila masuk bulan ketiga keseimbangan mula tiada. Semangat yang menyala-nyala di awal jalan mula malap perlahan-lahan.

Dalam Islam, perbuatan istiqamah atau kemampuan untuk melakukan sesuatu yang baik secara berturusan adalah sesuatu yang amat mulia. Ia menggambarkan kesungguhan dan ketahanan jiwa. Perbuatan mendirikan solat sunat 2 rakaat qiamullail dengan istiqamah itu lebih utama berbanding melakukannya sekali setahun tetapi dalam jumlah yang banyak.



Nabi Muhammad s.a.w bersabda:

“Amalan (sunat) yang paling dicintai oleh Allah adalah amalan (sunat) yang dilakukan secara berterusan walaupun sedikit.” (Riwayat Muslim, no. 783)

Walau hadis ini sebenarnya adalah membicarakan tentang agama dan amal ibadah khusus kepada Allah s.w.t, namun ia sebenarnya amat bersesuaian untuk dijadikan pegangan dalam urusan dunia kita untuk mencapai kejayaan.

Andai kita tidak mempunyai sikap yang istiqamah atau konsisten dalam kelakukan mustahil untuk kita berjaya dalam kehidupan. Tanpa sikap istiqamah jadilah kita seperti kata pepatah Melayu yang berbunyi “Hangat-hangat tahi ayam!”. Diawalnya sahaja kuat berusaha, kemudian diakhirnya layu dan lemah jua.

Tip Untuk Istiqamah Dalam Usaha.
  1. Bergaul dengan orang yang mempunyai matlamat yang sama dengan kita.
    >
  2. Bekerja dalam jemaah. Apabila kita lemah, maka akan ada orang memberi semangat pada kita.
    >
  3. Baca kisah-kisah orang yang berjaya.
    >
  4. Tulis atau lihat matlamat kita secara berkala. Sediakan sebuah buku khusus dan tulis matlamat kita dalam buku tersebut pada waktu tertentu.
    >
  5. Lakukan tindakan sedikit demi sedikit. Itu lebih baik. Daripada usaha banyak, namun akhirnya lelah dan kalah.
    >
  6. Dekatkan diri kepada Allah s.w.t dan berdoa kepada-Nya agar kita diberikan kekuatan dan kemudahan untuk melaksanakan apa yang kita rancangkan.
    >
  7. Sediakan waktu untuk berehat dalam masa tertentu. Minda dan badan kita memerlukan rehat.

(Sumber gambar: islamicartdb, gimbfoundation)




Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Anda mempunyai pendapat, pandangan dan pengalaman berkenaan topik yang dituliskan di atas? Tuliskan di bawah dan kongsikan bersama kami.