Klik LIKE untuk dapatkan kemas kini melalui Facebook anda.

Menyalurkan informasi untuk orang makan gaji dan orang bisnes untuk lebih berjaya dalam kerjaya, kewangan dan bisnes dengan cara patuh syariah.

CONTENT MARKETING, BINA KREDIBILITI DENGAN INFORMASI.

  (Joe Pulizzi pengasas Content Marketing Institute)

Apa itu Content Marketing?

Content Marketing adalah strategi pemasaran berpengaruh yang menarik perhatian prospek dengan menghasilkan informasi menarik yang diperlukan, dicari dan disukai oleh golongan sasaran atau prospek sesebuah bisnes. Ia adalah strategi pemasaran yang berkembang dan diamalkan oleh kebanyakan bisnes dan syarikat gergasi di seluruh dunia untuk memasarkan produk dan servis mereka. (Rujuk: contentmarketinginstitute)

Strategi Content Marketing mengamalkan kaedah pemasaran yang mendidik dan menyelesaikan masalah prospek melalui penghasilan informasi, seterusnya berpotensi besar menempat sesebuah bisnes dalam minda prospek yang disasarkan. Harus difahami, Content Marketing adalah suatu upaya memasarkan dan menjual produk atau servis secara tidak langsung kepada prospek. Ia dimulakan dengan menarik perhatian golongan sasaran seterusnya membina hubungan baik dengan mereka, dan membina kredibiliti dan autoriti sebagai pakar dalam pandangan mereka. (Rujuk: contentmarketinginstitute)

Prospek Inginkan Informasi.

Dalam dunia global hari ini, prospek tidak lagi sama seperti dahulu. Dahulu, apabila seseorang prospek ingin mendapatkan sebuah produk atau servis, biasanya mereka akan terus ke kedai untuk mencari produk atau servis yang mereka mahu.

Berbeza pada zaman ini, saat bertimbun-timbun produk dan servis di pasaran, sebelum mendapatkan sebuah produk atau servis, majoriti daripada pengguna biasanya akan mendapatkan maklumat terlebih dahulu. Pencari maklumat yang paling kerap digunakan oleh mereka adalah internet.

Para pemasar yang menyedari perkara ini menyimpulkan bahawa cara terbaik untuk menarik perhatian prospek adalah dengan menghasilkan content yang boleh menarik perhatian golongan sasaran mereka, lalu ‘menerbitkan’ content tersebut di ruang media. Contoh bentuk content yang diterbitkan adalah artikel blog, video atau infografik. 


Bila golongan sasaran mencari informasi yang mereka mahu di ruang internet, maka nanti golongan sasaran akan menjumpai artikel, video atau grafik yang diterbitkan oleh bisnes yang berkaitan – yang mana ia mengandungi maklumat pemilik bisnes . Ini secara tidak langsung menarik perhatian dan menyedarkan golongan sasaran tentang kewujudan bisnes tersebut.

Sekiranya content yang disajikan adalah maklumat yang amat berguna dan dicari-cari oleh golongan sasaran ia akan membuatkan golongan sasaran lebih ingat kepada pemilik bisnes tersebut dan yang berkaitan dengannya.

Malah, seperti biasa, selain melayari atau menikmati content yang dipaparkan untuk golongan yang disasarkan menjadi prospek, mereka pasti akan menjelajah maklumat lain yang berada di medium penyebaran content sesebuah bisnes – lalu menjumpai produk dan servis yang disediakan oleh sesebuah bisnes.

Strategi penyebaran Content Marketing tidak semestinya melalui internet sahaja. Ia boleh sahaja berupa rancangan TV atau radio yang memuatkan content berkualiti serta berkait dengan produk atau servis yang ingin dijual.

Yang membuatkan Content Marketing amat berkesan untuk menarik prospek, kerana ia mewujudkan perasaan selesa dan suka di hati prospek dan tidak menjual produk atau servis secara langsung.

Contoh Pengamalan Content Marketing Dalam Bisnes.

Berikut adalah dua contoh daripada situasi sebenar yang berlaku – tidak menggunakan nama sebenar pengamal Content Marketing.

     # 1 - Usahawan Buku Agama Berkualiti.

Muhammad adalah usahawan yang menjual buku agama dan produk-produk berkaitan agama. Dia mengenali bahawa prospek adalah terdiri daripada mereka yang minat kepada ilmu agama, dan gemar membaca.

Menyedari perkara tersebut, Muhammad membangunkan sebuah blog dan menyiarkan artikel agama yang menarik dan dicari-cari oleh golongan sasarannya.

Usaha Muhammad berjaya. Dengan content – artikel – yang disajikan dalam blog tersebut, ia berjaya menarik perhatian golongan yang suka membaca dan ingin tahu tentang agama. Pada suatu tahap Muhammad dan blog beliau dilihat sebagai sebuah identiti yang mempunyai kredibiliti sebagai rujukan untuk mendapatkan maklumat berkaitan agama.

Dalam masa yang sama, blog tersebut turut mengandungi maklumat yang boleh membawa pelayar blog tersebut ke ruang jualan buku online yang dibuat oleh Muhammad. Para pelayar blog Muhammad pastinya akan menemui perkara tersebut. Dengan kepercayaan yang terbina terhadap Muhammad melalui melihat artikel-artikel berkualiti yang diterbitkan di blog beliau, ia telah mewujudkan kesinambungan bahawa buku-buku yang dijual dan dicadangkan oleh Muhammad juga adalah buku-buku yang dipercayai dan berkualiti.

Pelayar yang asalnya cuma mendapat informasi dan maklumat di blog Muhammad berjumpa dengan buku-buku menarik minat mereka yang dijual oleh Muhammad, dan menjadi prospek yang membeli buku-buku agama daripada Muhammad.

Daripada masa ke semasa jumlah prospek Muhammad terus meningkat, kerana content yang diterbitkan di blog beliau kekal dan terus menarik dan mendapat perhatian daripada golongan sasaran.

     # 2 - Penulis Sepenuh Masa Yang Berpengaruh.

Qursyairi adalah seorang yang usahawan yang mempunyai kemahiran dalam ilmu penulisan dan copywriting. Beliau merancang pada suatu masa nanti, beliau mahu menjana pendapatan daripada penulisan sepenuh masa dan menganjurkan kursus-kursus seminar yang boleh menjana pendapatan lumayan.

Dengan mengenali golongan yang disasarkan menjadi prospeknya, Qursyairi membuat perancangan rapi, dan menyiapkan content yang menarik perhatian golongan sasarannya dan serta meningkatkan kepercayaan mereka terhadap beliau sebagai seorang penulis dan copywriter yang berbakat.

Dengan berbekalkan medium Facebook, blog dan Youtube, Qursyairi mula menerbitkan dan menyebarkan content yang telah disediakan. Beliau berkongsi secara konsisten ilmu tentang penulisan dan copywriting melalui Facebook dan blog beliau yang seterusnya menarik golongan sasarannya dan membentuk kepercayaan mereka bahawa beliau adalah seorang yang pakar dan berilmu tentang copywriting.

Strategi Qursyairi berjaya, hari demi hari Facebook dan blog beliau mula mendapat sambutan dan maklum balas daripada golongan sasarannya. Tahap kredibiliti Qursyairi telah meningkat daripada sebelumnya, dan beliau selalu mendapat tawaran kerjasama untuk menjana pendapatan melalui penulisan. Dengan berbekalkan strategi Content Marketing, Qursyairi telah berjaya menjana pendapatan sebagai penulis sepenuh masa dan kini menganjurkan seminar, kursus dan bengkel untuk para usahawan.

Sama Dengan Sewa Iklan?

Mungkin ada yang tertanya-tanya, bukankah ia kelihatan sama dengan menyewa ruang iklan di blog atau media yang mempunyai niche berkaitan dengan produk atau servis yang dijual sesebuah bisnes?

Secara jelasnya, ia kelihatan hampir sama, namun sebenarnya berbeza. Menyewa iklan di ruang media, tidak memungkinkan sesebuah bisnes mempunyai peluang yang besar untuk membina hubungan baik dengan sasaran yang ingin dijadikan prospek, malah peluang mendapatkan kepercayaan dan kredibiliti pada pandangan mereka juga kurang luas. Menyewa iklan hanya menumpang dengan kredibiliti orang lain.

Berbeza dengan itu, strategi Content Marketing memberi peluang, ruang dan kuasa bagi sesebuah bisnes untuk membina hubungan dengan prospek serta membina kredibiliti sesebuah bisnes pada pada pandangan prospek, kerana media tersebut adalah milik mereka sendiri.

Content Marketing Membina Kredibiliti Di Mata Prospek.

Berikut adalah apa yang bakal didapati oleh sesebuah bisnes yang mengamalkan Content Marketing:
  1. Content Marketing membantu meningkatkan kredibiliti dan jenama seseorang usahawan atau sesebuah bisnes di mata golongan sasarannya.
  2. Identiti bisnes seorang usahawan akan lebih melekat di minda prospek golongan sasaran, memandangkan ia adalah berupa informasi yang boleh kekal lama, berbanding iklan semata-mata yang lebih cepat dilupakan.
  3. Golongan sasaran cenderung mempercayai produk dan servis yang dijual oleh sesebuah bisnes sebagai berkualiti dan bagus, dengan wujudnya kredibiliti sesebuah bisnes. Ini memendekkan kitaran proses menjual.
  4. Golongan sasaran akan lebih percaya dan selesa untuk berurusan dengan usahawan tersebut dan bisnesnya.
Dengan izin Allah, pada masa akan datang, saya akan tulis mengenai jenis content yang sesuai dan boleh menjadi magnet untuk menarik prospek. Nantikan kemunculannya!


(Sumber gambar: contentmarketingworld,intersectionconsulting.com )



3 ulasan:

  1. Terima kasih Tuan Suhili atas perkongsian yg berguna ini. Banyak yg saya belajar dpd artikel ini. Mg Allah melimpahi tuan dgn rezeki yg lebih byk... teruskan perkongsian

    BalasPadam
    Balasan
    1. Alhamdulillah, sama-sama tuan. Terima kasih juga atas doa tuan dan sokongan tuan kepada blog ini. Moga Allah mengurniakan rezeki yang melimpah juga buat tuan. :)

      Padam
  2. terima kasih atas ilmu yg disampaikan... moga diberikan kekuatan kpd tuan untuk berkongsi lebih banyak lagi ilmu2 sebegini...in sha Allah.. mohon izin dari tuan untuk saya kongsikan ilmu ini kpd rakan2 lain pula... :-)

    BalasPadam

Anda mempunyai pendapat, pandangan dan pengalaman berkenaan topik yang dituliskan di atas? Tuliskan di bawah dan kongsikan bersama kami.