Klik LIKE untuk dapatkan kemas kini melalui Facebook anda.

Menyalurkan informasi untuk orang makan gaji dan orang bisnes untuk lebih berjaya dalam kerjaya, kewangan dan bisnes dengan cara patuh syariah.

SEDIAKAN 3 PAYUNG HADAPI WAKTU 'HUJAN'

Dalam artikel yang lalu saya telah kongsikan dengan anda tentang cara menyimpan wang yang efektif. Setiap kali mendapat wang gaji atau pendapatan, kita mesti mengasingkan wang simpanan terlebih dahulu, barulah mengurus wang untuk perbelanjaan bulanan.

Simpanan adalah ibarat payung untuk menghadapi hujan pada masa depan.

Andai kita tidak mempunyai payung simpanan, saat tibanya hujan masalah, pasti kita akan ‘basah kuyup’ meredahnya, atau terpaksa duduk diam sahaja di rumah.


Shamsuddin Kadir seorang penulis dan pakar kewangan Malaysia menyatakan melalui bukunya Makan Gaji Tetapi Kaya, simpanan dibahagikan kepada 3 bahagian. Dalam penulisan ini saya olah sedikit, dan namakan pembahagian ini sebagai ‘3 Payung Kewangan’.

Payung # 1: Simpanan Jangka Panjang.

Payung ini adalah simpanan untuk masa tua kita. Pada saat kudrat tidak mampu lagi bekerja seperti orang muda, jumlah pendapatan bulanan kita mungkin berkurangan atau tiada lagi. Berdasarkan Pusat Kajian Strategik dan Antarabangsa (CSIS), terdapat 80 peratus pekerja di Malaysia risau mempunyai simpanan yang tidak mencukupi apabila mencapai umur bersara.



Kegagalan menyimpan wang untuk usia tua mendedahkan kita kepada pelbagai masalah, seperti terpaksa bekerja keras untuk meneruskan hidup atau bergantung hidup kepada anak-anak dan saudara.

Lebih-lebih lagi, ketika usia sudah semakin lanjut, kos perubatan kita mungkin meningkat kerana pelbagai penyakit yang menimpa. Tanpa menyediakan simpanan untuk jangka panjang ini, pasti kita akan dilanda gelisah dan resah jika tidak sabar menghadapinya.

Sesetengah orang mengambil jalan ringkas, meremehkan menyimpan wang untuk usia tua, atas alasan hidup bergantung dengan anak-anak sudah memadai. Ia adalah amat berisiko, kerana kita tidak tahu apa yang berlaku esok hari.

Bagaimana jika ditakdirkan Allah, anak yang diharapkan menjaga kita diusia tua, ditakdir pergi dahulu? Pada saat itu, pada siapa kita mahu meminta bantuan lagi? Mungkin ada yang sudi menghulurkan bantuan, tetapi pastinya ia tidak semudah yang disangka.

Bagi payung ini, sebaik-baiknya ia adalah simpanan yang kita aturkan sendiri, dan bukannya dengan mengharapkan wang pencen atau simpanan KWSP sahaja.

Payung # 2: Simpanan Jangka Pendek.

Payung kedua berfungsi untuk memenuhi keperluan atau kemahuan yang ingin kita capai dalam tempoh yang tidak begitu lama. Ini adalah simpanan untuk memenuhi keperluan dan kemahuan kita dalam masa terdekat.

Contoh, kita menyimpan wang, kerana ingin membeli kereta pada hujung tahun ini atau ingin membelikan sebuah komputer untuk kegunaan anak-anak dirumah 2 bulan akan datang.

Payung # 3: Simpanan Waktu Kecemasan.

Lumrah hidup, terkadang apa yang kita rancang tidak semuanya menjadi. Simpanan ini adalah untuk menghadapi masa kecemasan. Contohnya ditimpa penyakit yang memerlukan kos rawatan atau terlibat dengan kemalangan dan dinasihatkan oleh doktor agar berehat dalam masa sebulan, sedangkan kita bekerja sendiri bukannya makan gaji. Tiada kerja bererti tiada pendapatan untuk kita.


Maka saat sebegini kita perlu bergantung dengan simpanan kecemasan untuk meneruskan kehidupan seperti biasa. Ataupun kita tinggal di perantauan, lalu terpaksa balik ke kampung dengan segera kerana terdapat perkara yang mahu diselesaikan.

Pada artikel yang lepas juga, telah saya kongsikan bahawa kadar simpanan yang sesuai adalah 30 peratus daripada wang gaji kita. Andaikan kita menerima wang gaji RM1000 setiap bulan, maka simpan sebanyak RM300 daripadanya. RM300 itu bahagikan kepada 3; simpanan jangka panjang, jangka pendek dan kecemasan. Jumlah pembahagian adalah terpulang pada kita. Adakah RM120, RM80 dan RM100? Adakah RM100, RM100, RM100? Kita sendiri perlu bijak mengaturnya.

Berapakah Jumlah untuk Simpanan Kecemasan?

Kadar simpanan wang kecemasan yang sesuai adalah menyamai gaji kita selama 6 bulan. Seandainya wang gaji kita adalah RM1000 sebulan, maka jumlah simpanan yang perlu ada dalam ‘payung kecemasan’ kita adalah sebanyak RM6000.

Apabila simpanan kecemasan telah sampai RM6000, kita bolehlah menumpukan untuk menambah simpanan jangka panjang dan jangka pendek. Wang yang diperuntukkan untuk simpanan jangka panjang, digunakan untuk menyempurnakan payung kewangan yang pertama dan kedua.



Wang simpanan kecemasan, hanya digunakan pada waktu kecemasan sahaja. Manakala wang simpanan jangka panjang, bagi hadapi usia tua sama sekali tidak boleh diusik demi kehidupan yang mudah di masa tua.

Jika anda belum membuat sebarang simpanan yang mencukupi, usah gelisah. Bermulalah daripada sekarang demi masa hadapan anda yang lebih baik.

Menyimpan ada benih kepada pokok kekayaan dan kesenangan.



(Sumber gambar: ahmadhumaizi, cubagallery91520005@N02 )       




Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Anda mempunyai pendapat, pandangan dan pengalaman berkenaan topik yang dituliskan di atas? Tuliskan di bawah dan kongsikan bersama kami.